PBAHB lapor polis dakwaan keluarkan cek RM2.5 juta

BERNAMA | .

GEORGE TOWN: PBA Holdings Bhd (PBAHB) hari ini membuat laporan polis berhubung cek bernilai RM2.5 juta yang didakwa dikeluarkan syarikat itu kepada Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Md Piah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB Jaseni Maidinsa berkata beliau menerima maklumat berkenaan cek itu semalam dan mendapati gambar cek bertarikh 29 Mei 2015 itu tersebar di laman Facebook.

"Terdapat satu gambar cek bernilai RM2.5 juta yang dialamatkan kepada Mohd Yusni bertarikh 29 Mei ini, dan cek itu ditandatangani oleh saya, Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Joyce Lee dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sedangkan kami tidak berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dekat sini, hari ini.

Jaseni menegaskan bahawa PBAHB tidak pernah mengeluarkan cek kepada penama berkenaan.

"Saya juga tidak pernah meluluskan sebarang pembayaran atau menurunkan tanda tangan terhadap cek itu," katanya.

Jaseni berkata pemaparan cek palsu itu merupakan satu tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berniat jahat serta cuba untuk mengelirukan orang ramai dan memburuk-burukkan imej awam PBAHB.

"PBAHB adalah sebuah syarikat awam yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia. Kami memandang serius perkara ini kerana ia mampu menjejaskan nama baik syarikat. Kami serahkan kepada polis untuk menyiasat perkara ini," katanya. - Bernama

Share on Myspace