Perjuangan menentang GST diteruskan

HAZAYANI ZAKARIA dan MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Hari Pekerja #batalGST hari ini bersurai aman dengan bacaan deklarasi oleh setiausaha himpunan, Suhaizan Kaiat.

Peserta himpunan berikrar akan meneruskan perjuangan Tok Janggut menentang sistem percukaian yang membebankan rakyat.

Mereka berikrar akan terus menuntut cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dibatalkan serta merta.

"Kami berjanji dan bersetiakawan akan meneruskan perjuangan menentang GST," ikrar Suhaizan diikuti seluruh peserta himpunan.

Himpunan yang disertai lebih 20,000 orang itu bersurai selepas bacaan doa oleh Ustaz Ahmad Awang.

Sebelum itu Pengerusi Himpunan #batalGST, Mohamad Sabu berkata, bantahan terhadap GST akan diteruskan sehingga kerajaan membatalkannya.

Hampir 20,000 orang menyertai himpunan pada hari ini.

Himpunan yang berakhir di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) itu turut dihadiri kepimpinan PAS Pusat.

Perserta himpunan yang berhimpun di beberapa tempat seperti pusat membeli belah Sogo, Masjid Negara, Masjik Jamek, Dataran Maybank dan Puduraya bergerak ke Dataran Merdeka sebelum berarak ke KLCC.

Himpunan yang bermula selepas solat Jumaat itu disertai pelbagai kaum dan peringkat umur sebagai bantahan terhadap pelaksanaan GST.

Dalam pada itu, terdapat sekumpulan 30 orang aktivis 'anarkis' yang telah melakukan provokasi dengan membakar 'bom asap'dan mercun sewaktu berarak ke Dataran Merdeka.

Walaupun terdapat tentangan dari peserta himpunan, namun aktivis 'anarkis' tetap melakukan provokasi, namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Himpunan tersebut berakhir kira-kira jam 530 petang setelah pimpinan Pakatan Rakyat berucap. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

Share on Myspace