Cek palsu: Tembakan tak kena sasaran, kata Yusni

MOHD SABRI SAID | .

PULAU PINANG: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah menegaskan 'tembakan' pihak yang tidak bertanggungjawab terhadapnya ekoran tindakan menyokong keputusan PAS Pusat membantu PKR pada Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pauh tersasar.

Baginya, biarlah mereka melakukan perkara sia-sia kerana beliau sendiri tidak tahu menahu kononnya terdapat sekeping cek bernilai RM2.5 juta yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pihak Berkuasa Air Negeri Pulau Pinang (PPBANPP) atas namanya dua hari lalu.

Selepas beberapa jam Yusni yang mewakili Dewan Pemuda PAS negeri mengeluarkan kenyataan berlapang dada dan akur dengan keputusan PAS Pusat bekerjasama menggerakkan jentera membantu calon PKR, tersebar gambar cek yang tertera nama beliau, nilai wang dan tarikh pengeluaran cek.

"Siapa pun yang menghubungi saya jawapan yang sama saya akan berikan iaitu tanya Trengandaily dari mana mereka dapat sumber tersebut. Saya tak tahu pun," ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Bukit Mertajam, ketika dihubungi.

Menurutnya, jika diperhatikan namanya pun tersalah ejaan.

Sementara itu pagi tadi, Pengurus Besar PPBANPP, Ir Jaseni Maidin mengesahkan bahawa cek yang dikeluarkan oleh PBA Holding Bhd dua hari sudah adalah palsu.

Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Timur Laut. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

Share on Myspace