GST: Pihak berkuasa telagah tambah sengsara rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pertelagahan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan pihak Kastam terhadap cukai 6% yang dikenakan ke atas kad tambah nilai prabayar bukti nyata ketidaksediaan dan gopohnya kerajaan dalam melaksanakan GST.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia Ir Khairil Nizam Khirudin pelaksanaan GST hanya samata-mata untuk menambahkan pendapatan negara yang kian merosot.

"Mengapa rakyat pula yang menjadi mangsa kekeliruan akibat pertelagahan pihak berkuasa?

"Kerajaan usahlah memandang enteng dan remeh sahaja isu ini kerana hal ini telah menyusahkan ramai pengguna dan jurujual kad tambah nilai prabayar," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut kesal dengan kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan isu kekeliruan GST kad tambah nilai prabayar (topup).

Pada awal April dahulu, kekecohan ini sudah pun berlaku kerana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengatakan tidak akan berlaku perubahan harga kad tambah nilai prabayar tersebut.

Tetapi katanya, yang berlaku adalah sebaliknya apabila pihak kerajaan pula tunduk dengan desakan pihak syarikat telco dalam pertemuan mereka dengan pihak SKMM.

Kelmarin, Kastam mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar kembali kepada harga asal bermula 1 Mei namun, ia disanggah secara terbuka pula oleh SKMM dengan mengatakan harga sedia ada akan terus kekal.

Malangnya semalam Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad mengumumkan penarikan semula arahan yang telah diumumkan oleh beliau sendiri semalam.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS tetap tegas dan konsisten dengan pendirian bahawa GST adalah membebankan dan amatlah wajar ia ditarik semula pelaksanaannya.

"Pihak menteri, agensi pelaksana dan pegawai kerajaan sendiri telah gagal dalam memahaminya maka usahlah dilaksana perkara yang menambahkan lagi kesengsaraan dan penderitaan rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY 1/5/2015

Share on Myspace