GST: Tiada menteri, MP wanita BN segigih Wan Azizah

HARAKAHDAILY | .

PERMATANG PAUH: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan salah seorang perintis dalam perjuagan untuk membawa agenda Reformasi di Malaysia.

"Beliau berjuang dan menuntut keadilan bukan sahaja demi keluarga beliau, tetapi demi seluruh masyarakat Malaysia," ujar Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail.

Katanya, Wan Azizah berjuang demi membantu mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

"Sebagai Adun Kajang, beliau menuntut polisi yang lebih baik apabila bersidang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor," ujarnya yang juga Adun Batu Tiga, Shah Alam.

Beliau berkata, Wan Azizah terus-menerus menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sistem cukai yang dimulakan oleh kerajaan BN yang tidak langsung mengira derita rakyat Malaysia.

"Tiada menteri dari wanita BN, ahli parlimen ataupun Adun yang boleh menandingi jasa dan kegigihan beliau malah seberani beliau lagi-lagi lagi dalam isu GST," tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya PKR bersama Dr Wan Azizah, akan terus meninggikan martabat wanita di Malaysia dan menggalakkan mereka untuk menjadi pemimpin.

Tambahnya, PKR sudah membuktikan bahawa kami lebih mengutamakan kesaksamaan gender berbanding dengan BN, sehinggakan Jawatankuasa Utama Kerajaan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mempunyai lebih ramai wakil wanita.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat juga telah memberi peluang kepada lebih ramai calon wanita untuk bertanding di peringkat negeri dan persekutuan pada setiap kali pilihan raya umum.

"Akhirnya, sama ada seorang wanita itu suri rumahtangga ataupun tidak, semua wanita wajib dihormati," ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/5/2015

Share on Myspace