Pengundi Kuala Rompin beri isyarat tolak BN

HUSIN TAWANG | .

ROMPIN: Para pengundi di Rompin perlu menggunakan medan pilihan raya kecil dengan sebaik-baiknya sebagai platform untuk menunjukkan isyarat yang jelas bagi membantah tindakan zalim kerajaan BN yang menjadikan rakyat sebagai mangsa penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan amanah rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kezaliman yang jelas ketika ini ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Saya melihat ada arus perubahan ditunjukkan oleh pelbagai peringkat terutama golongan berpendapatan rendah yang sudah tentu tertekan dengan perjalanan harian kehidupan mereka.

"Oleh itu kini mereka bersama kita dan mahu memberi isyarat yang jelas kepada kerajaan BN yang sering menipu rakyat sepertinya dan suka mengambil kesempatan diatas derita rakyat," katanya kepada Harakahdaily selepas program ziarah sentuhan kasih di peti undi Kuala Pontian, di sini hari ini.

Nik Mazian yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, sepanjang beberapa hari berada di sini untuk membantu kempen calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad, perubahan itu begitu ketara dengan kehadiran penduduk setempat dari pelbagai peringkat memberi sokongan serta kerjasama erat seperti yang ditunjukan.

Katanya, gelombang perubahan itu bukan sahaja melibatkan aktiviti yang diaturkan oleh PAS malah turut menyerahkan borang untuk menyertai parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan seorang ketua kumpulan yang menyerah borang permohonan keahlian PAS, Muhammad Arshad Ali, 45, berkata apa yang diharapkan sesuatu yang istimewa daripada Umno BN semuanya hampa.

Katanya, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh orang di luar sana bahawa nasib mereka di sini masih terpinggir dari arus pembangunan sedangkan orang lain walaupun berada di negeri Pakatan Rakyat hidup mewah dan mempunyai segala kemudahan.

"Semoga hasrat dan harapan kami di sini tidak diabaikan oleh calon PAS setelah terpilih sebagai wakil kami nanti, sesungguhnya kami sudah perit berada di bawah cengkaman Umno BN," katanya. - HARAKAHDAILY 2/5/2015

Share on Myspace