Rumah: Generasi kedua Felda berputih mata

BASIRON ABDUL WAHAB | .

ROMPIN: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlin Aliman berkata, nasib generasi kedua dan ketiga Felda terus dirundung malang apabila tidak mampu membeli rumah yang dibina oleh Felda untuk mereka.

Menurutnya, generasi kedua Felda tidak mempunyai kemampunan kewangan untuk membeli rumah mampu milik yang dibina dan dijual dengan harga melebihi RM100,000 sebuah.

Beliau berkata, anak-anak peneroka hanya mampu beli rumah yang berharga RM70,000 ke bawah sahaja.

Menurutnya, pihak Felda pernah berjanji untuk membina rumah kepada generesi kedua dengan harga mampu milik.

Namun, ujar beliau apa yang menimbulkan persoalan kini ialah rumah yang dibina oleh Felda sudah mencecah harga RM120,000.

"Dengan harga sedemikian, sudah tentu ramai anak peneroka akan berputih mata," katanya dalam sidang media di Markas Induk PAS di Bandar Satelit Muadzam Shah, hari ini. Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dan Adun Beserah, Andansura Rabu.

Justeru, kata beliau Felda tidak seharusnya menjadikan perumahan generasi kedua sebagai projek komersil  yang mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya menjadikannya sebagai tanggungjawab sosial. - HARAKAHDAILY 2/5/2015

Share on Myspace