'Biar kami derita asalkan rakyat dapat manfaat'

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau dan keluarga sanggup menangis kerana rakyat asalkan mereka menikmati hasil pengorbanan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh itu reda dengan apa yang ditentukan Ilahi walaupun perjuangan belum selesai sepenuhnya.

"Saya dan keluarga sanggup menangis semata-mata kerana rakyat. Biar kami menderita asalkan rakyat mendapat manfaatnya," ujarnya ketika berucap di hadapan seribu orang sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya semalam.

Katanya, walaupun Anwar dipenjara tetapi auranya tetap ada di hati rakyat yang cintakan keamanan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat yang memperjuangkan kebajikan sewajarnya menjadi pilihan rakyat berbanding Umno BN yang hanya retorik.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-14 nanti merupakan medan terbaik untuk rakyat menjatuhkan pemerintah yang tidak tahu berterima kasih kepada rakyat yang mengangkat ke tampuk kuasa.

"PRU14 medan terbaik jatuhkan penguasa yang zalim. Manakala PRK Permatang Pauh dan Rompin pula adalah isyarat terbaik rakyat untuk mereka," katanya. - HARAKAHDAILY 2/5/2015

Share on Myspace