Prabayar: Tak sangka Shabery sama taraf Mat Maslan

HARAKAHDAILY | .

Merujuk kepada 'Jurucakap Rasmi Kerajaan' isu kad tambah nilai prabayar, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa Kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak RM800 juta jika kad prabayar dimasukkan dalam senarai dikecualikan. Kata beliau lagi, lebih 2/3 pengguna prabayar di Malaysia ini adalah warga asing.

PAS mendesak pihak kerajaan bersikap telus dalam hal ini. Usahlah berdolak-dalik dan merekayasa pelbagai alasan untuk menyelesaikan isu yang sudah sebulan berlaku tetapi tidak berkesudahan.

Saya menuntut kesahihan statistik kononnya, 2/3 daripada jumlah pengguna prabayar di Malaysia ini adalah warga asing. Hal ini sungguh aneh dan mengejutkan.

Jikalaulah benar seperti yang didakwa, ia menunjukkan bahawa negara kita kini hanya dipenuhi populasi warga asing melebihi warganegara Malaysia.

Bagaimana pula kerajaan berkata akan kehilangan hasil sebanyak RM800 juta sedangkan duit itu belum pun ada sekarang?

Tidaklah saya sangka Menteri Ahmad Shabery ini juga sama taraf pemikirannya dengan Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang sudah pun berjanji untuk mengembalikan harga kad prabayar kepada harga asal.

Bukankah warga asing juga tidak dikenakan GST?

Sikap dolak-dalik dan perbalahan antara menteri serta Kastam dan SKMM pada mata umum ini sungguh memalukan. Ia tak ubah seperti menonton wayang kulit yang ada Tok Dalang di belakang tabir untuk mengasyikkan penonton dengan pelbagai hikayat. Rakyat jugalah yang menjadi mangsa tersepit akibat kekeliruan dalam hal ini.

Tidakkah menteri jurucakap rasmi lantikan PM Najib di Twitter ini faham sengsaranya rakyat mencari rezeki?

Betapa ramai golongan muda, miskin berpendapatan rendah pengguna kad prabayar yang menjadi mangsa akibat kegagalan kerajaan BN. Usahlah berjanji jika tidak pandai menepati. Kononnya, kerajaan sudah pun bersedia-rapi untuk pelaksanaan GST ini namun hakikat realiti yang berlaku sungguh cacamarba dan memalukan.

PAS mendesak Kerajaan BN pimpinan PM Najib dapat segera menyelesaikan isu ini dengan mendahulukan hak rakyat yang perlu dibela bukannya tunduk patuh kepada desakan syarikat telco yang sudah pun meraih keuntungan ratusan juta ringgit.

DATUK MAHFUZ OMAR
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

2 Mei 2015

Share on Myspace