Prabayar: Apa peranan Najib selaku Menteri Kewangan?

HARAKAHDAILY | .

Sekali lagi AMK ingin menyatakan kekecewaan di atas perihal cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang terkini adalah kepincangan di dalam penguatkuasaan cukai tersebut di kalangan syarikat Telco.

Menteri Komunikasi, Shabery Cheek, baru-baru ini memberi kenyataan bahawa kerajaan mungkin menghadapi kerugian RM800 juta jika syarikat Telco tidak dikenakan cukai ke atas kad prabayar.

Setelah sebulan perlaksanaan GST, rakyat telah dijanjikan pelbagai perkara termasuklah bahawa kad prabayar tidak akan dikenakan GST di samping penurunan harga-harga barang yang lain.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, juga telah membuat kenyataan ingin membawa syarikat Telco ke mahkamah jika mengenakan cukai ke atas kad prabayar.

Kini jelas semuanya hanyalah janji kosong dan kerajaan sejak awal lagi tidak pernah hiraukan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Kenyataan Ahmad Shabery juga menimbulkan begitu banyak persoalan.

Adakah kerajaan dan kewangan negara begitu terdesak sehinggakan cukai 6 peratus ke atas kad prabayar begitu diperlukan dan terpaksa ditanggung oleh rakyat?

Tidakkah kerajaan BN sedar bahawa rakyat sekarang amatlah terbeban dengan cukai tersebut terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan pelajar yang kebanyakannya menggunakan kad prabayar?

Kad prabayar bukan sahaja digunakan oleh golongan asing seperti yang dinyatakan oleh menteri. Kenyataan itu membuktikan kerajaan BN masih terlalu jahil tentang keadaan rakyat sehingga mereka boleh memperlekeh perkara seperti ini.

AMK ingin menyarankan agar kerajaan berhenti membebankan rakyat dengan cukai yang kejam ini dan berterus terang dengan rakyat tentang keadaan kewangan negara.

AMK juga hendak menyentuh tentang peranan Perdana Menteri Najib Razak dalam hal ini. Semalam beliau memberi arahan secara terangan di Facebook dan Twitter supaya perihal Telco diselesaikan oleh Shabery Cheek.

Persoalannya, apakah peranan Najib Razak selaku Menteri Kewangan? Bukankah GST dikuatkuasakan dan di bawah pengawasan Kementerian Kewangan?

Mengapa beliau melepaskan tanggungjawab ini kepada Menteri Komunikasi yang hanya berurusan dengan Telco tetapi tiada kuasa dalam percukaian?

Saya kira perkara ini berlaku kerana Ahmad Maslan telah gagal melaksanakan GST dengan baik, di bawah Kementerian yang diterajui oleh Perdana Menteri sendiri.

Kegagalan Ahmad Maslan sepatutnya dikira sebagai kegagalan Perdana Menteri juga. Daripada mengurus hal ini sendiri, beliau hanya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada menteri yang lain.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Angkatan Muda Keadilan

Share on Myspace