PAS cabar Najib, jangan jadi PM untuk Rompin sahaja

HARAKAHDAILY | .

PAS mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memberikan harga rumah yang sama kepada semua generasi kedua dan ketiga (G2 & G3) Felda sebagaimana yang diberikan kepada warga Felda di Rompin.

Tindakan memberikan harga lebih murah dan makenisma lebih baik kepada warga generasi kedua Felda di Rompin menggambarkan sememangnya warga Felda terabai selama ini.

Kalau bukan kerana adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, G2 dan G3 Felda di Rompin akan terus terabai. Ini membuktikan PAS membuat keputusan yang tepat untuk bertanding di Rompin kali ini.

Rungutan harga rumah yang mahal dan mekanisma yang tidak membantu G2 and G3 memiliki rumah merupakan agenda utama dalam setiap dialog dengan warga Felda.

Hakikatnya, harga rumah antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda di seluruh negara. Tapi hanya kerana bimbang dengan kebangkitan G2 dan G3 Felda dalam PRK Rompin kali ini, maka datangnya durian runtuh sedemikian daripada Najib.

Masalahnya ialah hanya mereka yang berada di parlimen Rompin boleh menikmati potongan RM32,500 untuk pembelian rumah secara jual-beli, dan tidak pada G2 dan G3 Felda di kawasan lain.

Yang amat dikesali ialah kenyataan Najib tidak mencerminkan sikap sebagai PM bagi semua warga Felda di tempat lain. Ia seolah-olah seperti kenyataan Pegawai Felda Wilayah sahaja kerana hanya nampak masalah di Rompin, sedangkan isu ini dibangkitkan oleh seluruh warga G2 dan G3 Felda seluruh negara.

Sebagai PM, PAS menyeru Najib agar bertindak sebagai PM bagi seluruh negara. Jangan hanya kerana nak selamatkan kedudukan dan undi di Rompin, lalu kita isytihar pelbagai habuan hanya bagi kawasan PRK sahaja.

Melihat sikap PM sedemikian, PAS menyeru seluruh warga G2 dan G3 Felda bangkit mendesak hak serta kemudahan dan harga yang sama diberi kepada generasi muda di Rompin turut dinikmati Felda seluruh negara.

Warga G2 dan G3 Felda di Rompin, undilah PAS untuk kesejahteraan kawasan-kawasan Felda yang lain. Atau kawasan Felda lain terpaksa menunggu nasib untuk diadakan PRK selagi kerajaan Umno-BN memerintah, barulah keperitan mereka akan dipandang dan kawasan mereka dituruni pelbagai insentif. Inilah nilai dan harga undi anda. - HARAKAHDAILY 3/5/2015

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS
3 Mei 2015

Share on Myspace