Inap desa penuh sempena PRK Rompin, cuti panjang

R RATCHARATHAN | .

ROMPIN: Sempena cuti panjang disertai pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Rompin, tempahan inap desa di Rompin didapati sangat tinggi bukan sahaja dari pengunjung sekitar Pahang malah dari negeri lain.


Bagi menampung penginapan, terdapat pengusaha chalet yang turut menyewakan rumah mereka.

Pemilik Homestay Nur Mizan yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 42, berkata beliau dan pengusaha lain jarang menerima permintaan tinggi sebelum ini.

"Permintaan pelancong boleh dikatakan terlampau menggalakan sehingga ada rakan-rakan saya yang menyewa rumah mereka bagi memberi laluan kepada pelancong dan petugas PRK Rompin," katanya kepada Bernama.

Selain cuti sempena Hari Pekerja, Hari Wesak yang turut diberi cuti ganti esok, sementara penduduk Pahang turut bercuti sempena Hari Hol serta cuti sempena PRK Rompin.

Pemilik Rumah Rakit Rompin, Mohd Fadzil Maarof, 40, berkata tiga chalet terapungnya di Sungai Rompin di Kg Gading menerima tempahan sejak bulan lepas dan kini masih menerima tempahan walaupun sudah penuh.

Beliau berkata chalet yang disewa antara RM80 hingga RM180 bagi satu malam ditempah pengunjung termasuk dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Antara tarikan yang disediakannya ialah program memancing termasuk udang galah di Sungai Rompin, menyusuri sungai sambil melihat kunang-kunang serta melihat aktiviti bersewang masyarakat Orang Asli.

Seorang pelanggannya Atras Muhammad Zin, 40, dari Nilai, Negeri Sembilan berkata beliau dan keluarganya merancang bercuti di Rompin sejak sekian lama.

Beliau begitu teruja dapat memancing terus dari rumah rakit sambil menikmati suasana sekeliling yang tenang dan cantik.

Pengusaha inap desa di Sungai Puteri, Khasiah Abdul Rahman, 58, menyifatkan PRK Rompin membawa rezeki lebih kepadanya.

"Inap desa saya penuh disewa sepanjang PRK berbanding sambutan hanya di hujung minggu sebelum ini," katanya.

Turut dikatakan tiket bagi perkhidmatan feri dari Tanjung Gemok ke Pulau Tioman habis dijual sejak seminggu lalu.

Seorang jurucakap syarikat feri Bistari Gemilang Shipping berkata keadaan itu berikutan acara larian tahunan 'Tioman International Eco Challenge 2015' bakal diadakan di Pulau Tioman pada 9 Mei ini.

Bagi kaki pancing, Abdul Razak Mohd Deli, 45, Rompin merupakan kawasan memancing yang ideal. - Bernama

Share on Myspace