Wan Azizah rayu pengundi Rompin sokong Ustaz Nazri

HARAKAHDAILY | .

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saya menyeru rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Rompin agar memberikan sepenuh sokongan kepada calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil P.91 Rompin, Ustaz Nazri Ahmad, yang mewakili Pakatan Rakyat.

Para pengundi haruslah mengundi Ustaz Nazri, bagi mewakili seluruh rakyat di Rompin, memperjuangkan nasib mereka, yang senantiasa terhimpit dengan tekanan ekonomi, khususnya akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pakatan Rakyat juga sedar bahawa di kawasan Rompin khususnya, terdapat banyak gugusan kawasan rancangan Felda, di mana mereka sering menjadi mangsa manipulasi Barisan Nasional, akibat terikat dengan perjanjian antara peneroka dengan Felda.

Sebenarnya masa depan peneroka Felda, generasi kedua peneroka dan anggota keluarga mereka terancam akibat penyenaraian FGV di Bursa Malaysia. Malah kebanyakan peneroka diikat dengan pelbagai perjanjian, termasuk perjanjian penanaman semula, yang sekali gus menjadikan peneroka terpaksa bergantung kepada mereka.

Sehubungan itu suara rakyat harus didengar, masa depan peneroka dan rakyat harus dibela. Rakyat harus memilih di antara calon yang terpaksa menurut kehendak BN dengan calon yang akan membela nasib mereka kelak.

Justeru pilihan terbaik untuk rakyat di Rompin adalah dengan mengundi calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad. Tolak BN, Tolak GST!

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
4 Mei 2015

Share on Myspace