Jangan harap dia nak lemahkan parti - Mukhriz

BERNAMA | .

BUKIT MERTAJAM: Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering memberikan pandangan termasuk yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan berniat melemahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata jika diteliti, kenyataan dan pandangan yang disuarakan oleh bapanya itu adalah untuk kebaikan UMNO dan BN sendiri.

Katanya apa yang berlaku, Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, mempunyai pandangan sendiri yang lebih kepada untuk menguatkan lagi parti.

"Jika kita lihat kepada kenyataannya, beliau berharap BN akan menang (dalam pilihan raya kecil) di Rompin dan juga di Permatang Pauh. Apa sahaja pandangannya adalah untuk kekuatan parti dan tidak sesekali untuk melemahkan parti," katanya kepada pemberita selepas Program Kenduri Rakyat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Tanah Liat Mukim 9, di sini Isnin.

Mukhriz ditanya tentang kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan dan Perdana Menteri yang menyebabkan pakatan pembangkang menganggapnya sebagai "De facto Opposition Leader".

Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah berkata tindakan Dr Mahathir yang sering menyatakan pandangan yang berbentuk kritikan terhadap kerajaan, dijadikan modal dalam kalangan parti pembangkang kononnya bekas perdana menteri itu menyokong parti-parti pembangkang.

"Saya nampak poster nakal pembangkang yang dipasang, yang kata Tun nak datang Rompin dan Permatang Pauh untuk berkempen bagi Pakatan Rakyat. Ada juga kata Tun nak berdemo depan (pasar raya) Sogo untuk gerakan anti-GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

"Ini karut belaka. Jangan harap dia nak lemahkan parti (UMNO dan BN) dan sokong Pakatan Rakyat. Tak timbul langsung isu dia nak menyokong pembangkang," tegasnya. - Bernama

Share on Myspace