Kenapa ‘Bapa GST’ tiada di PRK Rompin, Permatang Pauh?

HARAKAHDAILY | .

Ketiadaan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

Inilah kali pertama gambar PM bukan lagi menjadi daya tarikan kepada pengundi bagi menyokong Umno BN, sedangkan sebelum ini gambar beliau, banner ‘I love PM’ lebih banyak daripada gambar calon.

Pengundi juga tertanya-tanya mana perginya PM di Rompin dan Permatang Pauh.

Apakah PM yang kini dikenali sebagai Bapa GST sudah menjadi liabiliti bagi BN khasnya Umno – seperti yang disebut-sebut Tun Dr Mahathir Mohamad?

Apakah ini isyarat awal bahawa PM tidak mempunyai banyak pilihan selain mengundurkan diri sebagai PM kerana Umno dan rakyat sudah hilang keyakinan terhadapnya ekoran serangan berterusan Tun Mahathir dan beberapa tindakan membazir isteri beliau di tengah derita rakyat?

Kegagalan Najib dilihat sama dengan gagalnya Datuk Ahmad Maslan, yang kini digelar sebagai ‘Bapa Angkat GST’, dalam meyakinkan rakyat berhubung isu GST.

Kini pemerhati politk menunggu siapakah yang akan turun dahulu antara Ahmad Maslan atau Najib Tun Razak?

Barang kali lagu rakyat injit-injit semut telah bertukar seni kata baru: "Injit-injit semut, siapa sakit turun bawah”?

Kita sedar apa juga keputusan di PRK Rompin dan Permatang Pauh bukan bermakna GST dapat dihapuskan serta-merta.

Akan tetapi kalau warga Rompin dan Permatang Pauh dapat menghantar isyarat kuat yang betul, sekurang-kurangnya ia dapat membendung kadar GST daripada dinaikkan sewenang-wenangnya pada tahun seterusnya untuk menampung keborosan pemimpin dan menutup kelalaian dan salah guna dalam mengurus kewangan negara.

Buat warga Rompin, undilah calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad untuk Tolak GST!

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
4 Mei 2015

Share on Myspace