Bekalan GST diusung ke meja undi

M FAQIH | .

SEJAK lapan siri pilihan raya kecil (PRK) selepas pilihan raya umum (PRU) 2013, Barisan Nasional (BN) mendahului dengan kelebihan 1-0 di Teluk Intan.

BN berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan melalui calon ‘kitar semula’ Datuk Mah Siew Keong. Beliau menang tipis dengan majoriti 238 undi.

Pada PRK tersebut Dyana Sofya pendatang baru mewakili DAP memperolehi 19,919 undi, manakala Mah Siew mendapat 20,157 undi. BN melalui Presiden Gerakan menang biar pun majoriti kecil.

Sejak PRU ke-13 pada Mei 2013 sebanyak lapan PRK diadakan. Tujuh lagi PRK hanya mempertahankan status quo dengan mengekalkan parti yang menang pada PRU sebelum itu.

PRK dimulakan di Dun Kuala Besut pada 24 Julai 2013 diikuti PRK Dun Sungai Limau, (4 November 2013), Dun Kajang (23 Mac 2014).

Selain itu Dun Balingian, Sarawak (29 Mac 2014), Parlimen Bukit Gelugor, (25 Mei 2014), Dun Pengkalan Kubor (25 September 2014) dan terakhir Dun Chempaka 22 Mac 2015.

Tiada kejutan pada PRK tersebut kecuali PRK Teluk Intan yang diadakan pada 31 Mei 2014. Ia mengulangi kejayaan PAS merampas parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009.

PRK Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail. Pada PRU ke-12 Razali menang dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan Bebas, Maimun Yusuf.

BN juga melakukan kejutan serupa pada PRK Dun Galas, Gua Musang pada November 2010 apabila calonnya Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 undi.

Sedangkan pada PRU 2008 PAS pertama kali dalam sejarah menang di Dun tersebut melalui Chek Hashim Sulaima dengan kelebihan 646 undi.

Ini bermakna 16 PRK pasca PRU 12, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mendapat lapan kemenangan.

Manakala lapan PRK pasca PRU-13 BN sudah mendahului PR dengan agregat 1-0. Mungkinkah kejutan seperti di Teluk Intan boleh berulang di Rompin. Teluk Intan pada PRU 13 dimenangi DAP melalui Seah Leong Peng. Mendiang menewaskan Mah Siew Keong dan calon Bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Di Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengalahkan calon PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi pada PRU-13. Allahyarham mengekalkan kerusi itu sejak enam penggal.

Esok penentu segala penat lelah kempen selama 14 hari bermula 22 April lepas. Biar pun BN menang dengan majoriti besar pada PRU-13, namun tidak mustahil situasi yang pernah berlaku di Teluk Intan boleh berulang di Rompin.

Setidak-tidaknya BN akan terpukul sekiranya gagal mengekalkan jumlah majoriti tersebut.

Ini kerana kebiasaan PRK sebelum ini memberi keuntungan berganda kepada BN. Kekuatan 3M (machinery, money, media) menyebelahi BN sejak merdeka.

Contoh yang jelas berlaku di Pengkalan Kubor, sogokan kebendaan dan bantuan jentera kerajaan persekutuan serta media harian membolehkan BN mendapat lonjatan agak besar.

Mat Razi Mat Ail mewakili BN mendapat majoriti 2,635 undi mengatasi Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada PAS dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Pada PRU-13 Mei 2013 BN melalui Datuk Noor Zahidi Omar mengekalkan Dun tersebut dengan majoriti 1,736 undi. Allahyarham mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas dengan majoriti 1,736 undi.

Banyak umpan segera dan pengemblingan jentera kerajaan pusat membolehkan BN mencapai kemenangan bergaya di Pengkalan Kubor.

Hampir setiap hari jentera kerajaan pusat memantau kempen BN. Difahamkan mesyuarat mengenainya diadakan di sebuah pejabat agensi pusat di Tumpat.

Pada hari mengundi ramai pemilih memunggah microwave dan peralatan elektrik. Semasa kempen nyanyian dan tarian menghairahkan dianjurkan kompenan BN di sebuah wat Siam.

Biar pun PR mempersembahan GST dalam kempen tersebut namun ia tidak membekas di jiwa pengundi. Ketika itu tujuh bulan lagi sebelum GST berkuatkuasa.

Namun apa yang berlaku di Rompin dan Permatang Pauh, GST sudah dirasai semua rakyat. Poket pengundi Rompin dan Permatang Pauh sudah kempis sejak 1 April lalu.

Biar pun BN menurunkan calon yang dianggap mesra rakyat, Datuk Hasan Arifin di Rompin namun bebanan GST tidak mampu ditepis lagi.

Malah kemelut itu turut dirasai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Ketika temubual bersama RTM minggu lepas, Adnan seperti berterus terang GST boleh mengecilkan undi BN.

Malah Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie seperti mengakui tempias GST lebih menjerat orang Melayu. Seperti dilaporkan media katanya demografi masyarakat Cina yang berpendapatan tinggi dan tidak ramai anak, bebanan GST kurang dirasai mereka.

Selain GST, isu Felda Global Ventures (FGV) juga merunsingkan peneroka Felda di Rompin. Apa pun malam esok muktamadnya bagi menyambung perjuangan cucu cicit Tok Janggut. - HARAKAHDAILY 4/5/2015

Share on Myspace