Rompin: Undilah PAS sebagai mesej bantah GST

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi Parlimen Rompin hari ini dan menyeru semua pengundi yang layak mengundi menunaikan hak mereka.

Pilihlah calon PAS bagi menyuarakan mesej bahawa rakyat Rompin menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sebagai satu teguran telus dari rakyat kepada pemimpin.

Kepada pengundi wanita khususnya, kami yakin anda sangat merasai kesan perlaksanaan GST ini memandangkan ia berkaitan langsung dengan perbelanjaan harian keluarga. Semua lapisan rakyat daripada berpendapatan tinggi dan suri rumah yang tidak berkerja juga terpalit dengan sistem cukai baru ini. Sama-sama kita buat perubahan kerana pengundi wanita sangat besar sumbangan anda.

Calon PAS Ustaz Nazri Ahmad, 40, dilihat mampu menggalas amanah sebagai pemimpin di parlimen ini berdasarkan pakej beliau anak tempatan, perwatakan, peribadi dan latar belakang agama dan pendidikan yang baik. Seorang yang mesra dan dikenali oleh rakyat tempatan kerana banyak bergaul dengan semua lapisan masyarakat menjadikan beliau cakna dengan permasalahan rakyat dan boleh menyampaikan suara rakyat Rompin di Parlimen.

DMPM juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas yang telah mengerah tenaga siang dan malam bagi melancarkan gerak kerja pilihan raya kecil kali ini semoga pengorbanan ini diterima Allah sebagai amal soleh.

Kami juga memohon agar semua ahli PAS, pendukung mahupun penyokong teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah agar PAS diberi kemenangan dalam pilihan raya kali ini. - HARAKAHDAILY 5/5/2015

Siti Zailah Mohd Yusof
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
Ahli Parlimen Rantau Panjang

5 Mei 2015

Share on Myspace