Rompn: Undi calon PAS, isyarat kepada perubahan

HARAKAHDAILY | .

Dalam Surah Al-Ma'un, Allah سبحانه وتعالى telah memulakan dengan satu pertanyaan kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم,
أرءيت الذي يكذب بالدين؟
(سورة الماعون : 1)

"Tahukah kamu (wahai Muhammad) siapakah yang berdusta terhadap agama?"

Jika soalan begitu diajukan kepada kita, secara mudah kita akan mengandaikan pendustaan yang paling ketara sebagai jawapannya. Mungkin kita berfikir mereka yang mensyirikkan Allah atau mereka yang menentang Allah dan rasulNya sebagai pendusta agama.

Walau bagaimanapun, Allah menyediakan jawapan kepada persoalan tersebut.

FirmanNya:
فذالك الذي يدع اليتيم، ولا يحض على طعام المسكين
(سورة الماعون : 2-3)

"Mereka ialah orang yang menindas dan berlaku zalim terhadap anak yatim dan juga orang yang tidak menggalakkan memberi makan kepada golongan miskin."

Inilah jawapan Allah SWT. Ia mengubah haluan fikiran kepada persoalan yang tidak terfikirkan. Ia mengubah daripada melihat kepada persoalan ketuhanan dan kerasulan kepada persoalan hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Ia memberi isyarat yang jelas dan begitu bermakna. Ia menjadi satu peringatan tegas kepada setiap induvidu muslim agar melihat hubungan sesama manusia adalah juga satu isu besar agama dan ibadah. Dan pastinya ia merangkumi semua pihak terutamanya kepada pihak kerajaan dan penguasa yang wajib bertanggungjawab terhadap keperluan anak-anak yatim dan orang-orang miskin.

Perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terbukti membebani semua peringkat rakyat tidak kira yang berpendapatan sederhana mahupun miskin termasuklah anak-anak yatim. Rakyat tidak dapat tidak tetap akan berbelanja dan ia menyebabkan mereka akan 'terpaksa' membayar cukai walaupun mereka anak yatim dan orang miskin. Bukankah itu suatu penindasan?

Apakah pula 'maslahat' yang terlalu mendesak sehingga kerajaan terpaksa memilih satu sistem dan polisi awam yang menindas rakyat seperti GST? Belum lagi menyentuh soal hak-hak orang miskin pedalaman yang masih belum tertunai sehingga ke hari ini.

Pengalaman berkempen di kawasan-kawasan pedalaman dalam PRK Rompin memberikan kesan yang mendalam kepada jentera parti. Masyarakat di sana hidup di ceruk pedalaman, tersepit dalam kesengsaraan. Mereka menjadi mangsa kebobrokan polisi awam dan janji manis kerajaan Umno BN yang memerintah.

Masyarakat miskin di ceruk-ceruk perkampungan tidak memiliki kehidupan yang selesa. Adakah undi mereka selama ini sekadar untuk menghantar wakil ke parlimen, kemudian tiada tanggungjawab lain yang mesti ditunaikan kepada pengundi terutamanya golongan miskin?

Sebab itu saya mengharapkan agar perubahan yang diharapkan pengundi diterjemahkan ke atas kertas undi dengan memilih calon PAS. Ia terletak sepenuhnya di atas pilihan pengundi dan saya yakin masanya sudah sampai untuk menolak calon Umno BN. - HARAKAHDAILY 5/5/2015

Ayuh pengundi, berubahlah demi masa depan!

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace