PRK Rompin: Isyarat positif daripada pengundi muda

HARAKAHDAILY | FOTO MOHD NASIR | .

ROMPIN: Para pengundi terutama anak muda memberi isyarat yang positif kepada calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini ditambah pula dengan calon PAS, Ustaz Nazri, 40, adalah daripada anak muda berbanding calon BN.

Ini, ujarnya dapat menarik sokongan anak-anak muda termasuk dalam kalangan generasi kedua Felda.

"Ini berikan tarikan yang sangat baik untuk anak muda dan saya jangka ini juga akan membeikan saingat sengit kepda BN walaupun Rompin adalah kubu kuat BN," ujarnya ketika ditemui sewaktu mengiringi Ustaz Nazri melawat kawasan mengundi pada PRK Rompin.

Beliau berpandangan RRK Rompin akan menjadi tanda aras kepada suasana yang akan berlaku menjelang Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

"Ini kerana pada PRU14 nanti, kita jangka isu GST telah berjaya membuka minda masyarakat khususnya pengundi muda," ujarnya lagi.

Justeru, kata beliau cabaran pada PRK ini sangat besar kepada PAS kerana berdepan dengan majoriti yang besar diperolehi BN pada PRU lalu.

"Walaupun begitu kali ini kita lihat sokongan anak muda yang membanggakan khususnya di kawasan yang padat termasuk di tanah rancangan Felda walaupun Felda dilihat sebagai kubu kuat Umno," kata beliau lagi.

Bahkan, menurut beliau adakalanya di beberapa tempat bendera PAS lebih banyak daripada BN.

"Kita lihat dalam PRK Rompin ini semuanya ada kemungkinan dan tidak mustahil akan berlaku perubahan," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, menurut SPR seramai 29,935 daripada 52,744 pengundi atau 56.2 peratus telah keluar mengundi setakat jam 12.00 tengah hari ini. - HARAKAHDAILY 5/5/2015

Share on Myspace