Pemilihan PAS: 3 nama layak tanding presiden

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: Tiga nama layak bertanding jawatan presiden PAS bagi sesi 2015-2017.

Tiga nama tersebut ialah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Ahmad Awang dan Datuk Husam Musa.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-61, Asmuni Awi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini selepas pencalonan kawasan ditutup pada 30 April lalu.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden pula, empat nama layak bertanding iaitu Mohamad Sabu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Husam Musa.

PRESIDEN

1. Datuk Seri Abdul Hadi awang
2. Ahmad Awang
3. Datuk Husam Musa

TIMBALAN PRESIDEN

1. Mohamad Sabu
2. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
3. Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
4. Datuk Husam Musa

Sementara itu, dalam pengumuman rasmi jawatankuasa pemilihan PAS hari ini, tidak banyak yang berubah, kecuali penambahan Husam sebagai calon layak untuk jawatan timbalan presiden.

Untuk jawatan naib presiden pula, angka terkini menunjukkan 12 orang layak bertanding, termasuk dua nama baru.

Seramai 12 nama pula dicalonkan bagi jawatan naib presiden iaitu:

1. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
2. Datuk Husam Musa
3. Salahuddin Ayub
4. Datuk Mahfuz Omar
5. Datuk Mohd Amar Abdullah
6. Idris Ahmad
7. Nasaruddin Hassan Tantawi
8. Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
9. Datuk Iskandar Abdul Samad
10. Mohamad Noor Mohamad
11. Mohamad Sabu
12. Dr. Dzulkefly Ahmad

Menurut Asmuni, jawapan penerimaan atau penolakan mesti dikembalikan kepada beliau melalui dua kaedah.

Mereka boleh membuat serahan tangan sama ada sendiri atau wakil pada 18 dan 19 Mei dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Jika dibuat melalui serahan pos, surat mesti sampai sebelum jam 5.00 petang pada 19 Mei.

"Sekiranya kami tidak menerima jawapan pencalonan ini dalam waktu yang ditetapkan, maka mereka dianggap menolak pencalonan tersebut," katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kini layak bertanding tiga jawatan tertinggi dalam PAS selepas pencalonan kawasan ditutup Khamis lalu.

Walaupun masih berteka-teki, Husam kini layak bertanding jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden – jawatan disandangnya sekarang.

Menurut perlembagaan PAS, beliau boleh bertanding semua jawatan itu secara sekali gus, walaupun daripada sudut strategi dianggap tidak bijak. – HARAKAHDAILY 5/5/2015

Share on Myspace