Insiden DUKE: Miros hanya tumpu aspek keselamatan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Pembabitan Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam siasatan berhubung nahas di Lebuhraya DUKE pada Sabtu lepas, hanya tertumpu kepada aspek penyelidikan keselamatan jalan raya.
    
Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Wong Shaw Voon hari ini menjelaskan pihaknya tidak sesekali mencampuri urusan penyiasatan pihak polis dalam kemalangan itu.
    
"Pasukan yang diarahkan ke lokasi nahas hari ini hanya mengumpul data untuk dianalisis mengikut kepakaran kami bagi menambah baik aspek keselamatan jalan raya pada masa depan," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini.
    
Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata MIROS akan bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan berhubung nahas itu.
    
Dalam kejadian kira-kira 1.05 pagi itu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.
    
Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.
    
Dr Wong turut mengulas kenyataan oleh Ketua Trafik Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Datuk Mohd Fuad Abd Latiff hari ini yang berkata pembabitan MIROS dalam siasatan kemalangan itu tidak diperlukan.
    
Dr Wong berkata siasatan bagi mengumpul data analisis kemalangan jalan raya adalah perkara biasa dan sememangnya menjadi tanggungjawab MIROS.
    
"Antara lain, kajian dilakukan untuk mengenal pasti faktor-faktor seperti struktur jalan raya supaya kemalangan sedemikian dapat dielakkan serta boleh mengurangkan risiko kecederaan parah atau kematian," katanya.
    
Sehubungan itu, Dr Wong berharap tiada sebarang kekeliruan timbul berkaitan siasatan MIROS memandangkan pihaknya hanya menjalankan tugas untuk menambah baik sistem yang ada. - BERNAMA

Share on Myspace