Kemerosotan BN di Rompin hantar isyarat ke Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .

ROMPIN: Kemerosotan besar undi BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin menghantar isyarat yang jelas kepada para pengundi PRK Permatang Pauh.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekurangan undi BN sebanyak 6,244 undi berbanding Pilihan raya Umum ke-13 akan membantu PKR dalam PRK Permatang Pauh.

"Kita harap keputusan PRK Rompin ini akan membantu PKR menghadapi BN pada PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini," ujarnya pada sidang media di Pusat Penjumlahan Undi PAS PRK Rompin, di sini malam ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan calon PAS PRK Rompin, Ustaz Nazri Ahmad.

Beliau berkata, pencapaian yang diperolehi oleh PAS kali ini agak baik berbanding PRU13 lalu kerana PAS dapat meningkatkan undi popular lebih 10 peratus.

"Hampir semua peti undi ada peningkatan kepada PAS menyebabkan undi BN merosot lebih 6,000 undi dan ini boleh dibanggakan dalam PRK Rompin," ujarnya.

Menurut beliau lagi, beberapa peti undi dalam kawasan Felda yang selama ini tidak pernah mencatat kemenangan berjaya dimenangi oleh PAS kali ini.

Selain itu, katanya pencapaian PAS amat memuaskan dalam kalangan pengundi muda bagi saluran 4, 5 dan 6 yang agak ketara pada PRK Rompin.

"Jelas mereka bangkit dengan tema yang kita bawa 1 undi untuk PAS 1 undi tolak GST," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau berkata, isu anak muda di kawasan Felda seperti harga rumah untuk generasi kedua, kurangnya peluang pekerjaan dan sikap kerajaan yang kurang memberi tumpuan kepada pertanian antara faktor meningkatnya sokongan golongan itu kepada PAS.

Justeru, kata beliau pihaknya akan menumpukan usaha untuk terus mendekati anak muda di samping mengutamakan lima cawangan baru yang ditubuhkan sepanjang kempen PRK Rompin.

Pengarah Pengarah Jawatankuasa Induk PRK P.91 Rompin itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas PAS dari seluruh negara yang berusaha bersungguh-sungguh meraih sokongan para pengundi pada PRK ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada calon BN, Datuk Hasan Ariffin yang berjaya mengekalkan kemenangan.

Hasan memperoleh 23,796 manakala Ustaz Nazri meraih 14,901 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada PRU13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mendapat 30,040 undi sementara calon PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY 5/5/2015

Share on Myspace