Rompin: Cabaran Pemuda PAS tingkat undi anak muda

HARAKAHDAILY | .

ROMPIN: Keputusan Pilihan raya Kecil (PRK) Rompin merupakan cabaran kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk meningkatkan undi anak dalam pilihan raya umum akan datang.

"Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat keputusan PRK Rompin adalah satu cabaran untuk meningkatkan undi anak muda bagi memastikan sokongan mereka kepada PAS dalam pilihan raya umum akan datang," ujar Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Justeru, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu, pihaknya akan buat analisis untuk menambahkan sokongan anak muda khususnya di Parlimen Rompin pada pilihan raya umum nanti.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di pusat penjumlahan undi PAS di sini, malam tadi. Turut sama ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh petugas pada PRK Rompin.

"Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera parti khususnya Pemuda PAS yang datang dari seluruh pelosok negara untuk membantu dan memastikan kemenangan kepada calon PAS.

Sementara itu, calon PAS pada PRK itu, Ustaz Nazri Ahmad melahirkan rasa gembira dengan keputusan yang diperolehi itu.

"Alhamdulillah telah selesai PRK Rompin yang kita sama-sama tahu keputusannya. Walaupun PAS belum memenanginya tetapi sangat menggembirakan kita," ujarnya.

Ini, katanya kerana undi anak muda dapat mengurangkan majoriti yang diperolehi BN pada PRK kali ini.

"Insya Allah undi anak muda akan lebih baik dalam pilihan raya umum. Selepas ini kita akan gerak jentera dengan sebaik mungkin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua petugas PAS yang datang membantu, beliau berkata tunjuk ajar mereka akan membuka jalan kepada PAS kawasan untuk mengorak langkah dalam pilihan raya umum nanti.

Pada PRK semalam, beliau memperoleh 14,901 undi sementara calon BN, Datuk Hasan Arifin, meraih 23,796 undi. - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace