Walkathon D’Raja bantu mangsa banjir

| .

 

KOTA BHARU: Karnival Walkathon D’Raja Kelantan (Walk With Me 2015) esok akan menyalurkan sumbangan yang diterima bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Sumbangan itu dikumpul melalui Tabung Bencana D’Raja Kelantan. Walkathon tersebut dijangka disertai Sultan Muhammad V bersama lebih 30,000 rakyat. Acara bermula di perkarangan Stadium Sultan Mohd Ke-IV bermula jam 5 petang, berjalan melalui Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hamzah dan Jambatan Sultan Yahya Petra. Jarak perjalanan sejauh enam kilometer.

Ketua Istiadat Kelantan, Tengku Datuk Dr Tengku Mohd Faziharuddean Tengku Fiessal berkata sempena program berkenaan Tabung Bencana D’Raja Kelantan digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

Katanya, program itu berkonsep 3B iaitu ‘berjalan, beriadah dan beramal’ selaras dengan ‘amar ma’ruf, nahi mungkar’.

Selain itu karnival berkenaan juga bertujuan mendekatkan Sultan Kelantan dengan rakyat jelata, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Pada Walk With Me 2015 peserta dan pengunjung boleh menderma melalui tabung disediakan.

“Dan setiap sumbangan RM10 dan ke atas akan diberi percuma Anis Mois Cake Choclate, manakala sumbangan RM100 dan ke atas diberi T-Shirt Walk With Me 2015,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.

Dr Tengku Mohd Faziharuddean berkata penganjuran Walkathon D’Raja juga menjadi ikon tarikan pelancongan di Kelantan, di mana tahun keempat diadakan.

“Peserta juga hendaklah memakai pakaian sukan, bersopan santun dan menutup aurat. Penyertaan tanpa yuran pendaftaran,” ujarnya.

Sempena karnival itu turut diadakan pameran kraftangan dan batik Malaysia oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) serta pertunjukan mulai jam 3 hingga 5 petang.

Selain itu pameran bergambar mengenai ‘bah kuning 2014’ oleh Perbadanan Muzium Negeri. - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace