PRK Rompin: PKR ucap tahniah

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PKR mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas kejayaan PAS mengurangkan majoriti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya kecil (PRK) Rompin semalam.

Presiden PKR, Datuk Seri wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan tersebut menunjukkan rakyat terus memberi sokongan dan bersama dengan Pakatan Rakyat.

"PKR mengucapkan sekalung tahniah kepada calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad serta seluruh kepimpinan dan jentera pilihan raya yang telah bekerja keras untuk mengekalkan sokongan para pengundi Rompin kepada PAS.

Kejayaan ini wajar disyukuri dan dibanggakan memandangkan pada Pilihan Raya Umum 2013, calon PAS meraih 14,926 undi dan undi yang diperoleh kali ini adalah 14,901iaitu hampir sama dengan PRU-13 yang lalu," katanya melalui laman facebook.

Menurut beliau lagi, keputusan tersebut menunjukkan pencapaian BN kian merosot kerana jumlah undi yang diperoleh calon mereka kali ini adalah 23,796 undi berbanding 30,040 undi sebagaimana yang diperolehi pada PRU lepas.

"Jurang peratusan pengurangan undi dan majoriti yang besar ini, memberikan isyarat yang jelas bahawa, sebahagian besar penyokong BN sendiri, khususnya yang berada di luar bandar telah hilang kepercayaan kepada Umno dan BN.

"Walaupun pada siri kempen PRK Rompin, BN janji bantuan dan pembangunan dengan nilai jutaan ringgit, namun ia tidak mampu melonjakkan sokongan kepada mereka.

"Tidak boleh dinafikan bahawa pelaksanaan GST yang memangsakan seluruh rakyat, iaitu ahli dan penyokong Umno turut merasai keperitannya," sambung beliau lagi.

Tambahnya lagi, rata-rata rakyat khususnya orang-orang Melayu di kawasan pedalaman dan kawasan Felda yang berpendapatan rendah begitu terkesan dan menderita dengan kenaikan harga barang akibat GST.

Pakatan Rakyat perlu terus mara dengan momentum ini kerana kita pasti bahawa majoriti rakyat mendokong perjuangan kita.

"Insya-Allah, kita berharap, kejayaan kita mengekalkan sokongan di Rompin, dengan komitmen rakyat menolak sogokan BN pada setiap kali pilihan raya, akan dapat diterjemahkan dengan mengundi calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat di Permatang Pauh esok.

"Pakatan Rakyat harus terus istiqamah dalam membela dan memperjuangkan kebajikan rakyat. Kita akan terus prihatin dengan suara rakyat dan melaksanakan amanah rakyat sebaik mungkin, insya Allah," kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace