PRK Rompin: Petanda arus penolakan Najib

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin memberikan isyarat yang jelas kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi berkesan, demikian menurut Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Katanya, isu GST, 1MDB dan gaya pengurusan negara ala Najib adalah munasabah sebagai faktor penolakan itu.

"Faktor-faktor ini akan menjadi lebih penting menjelang PRU yang akan datang," ujar beliau kenyataan medianya.

Katanya, di PRK Rompin menyaksikan peningkatan undi yang ketara kepada PAS di beberapa peti undi sekalipun jumlah undi PAS berkurangan sebanyak 25 undi berbanding PRU lalu.

Peningkatan itu katanya sedikit sebanyak dikaitkan dengan isu semasa seperti GST dan penyenaraian FELDA.

"Pahang adalah Negeri Najib Tun Razak. Pengurangan majoriti calon BN sebanyak 6,244 undi adalah menunjukkan jumlah yang besar, pengundi tidak lagi bersedia memberikan kepercayaan mereka kepada parti yang dipimpin oleh DS Najib," tambahnya.

Husam berpandangan, pengundi yang diwakili oleh 6,244 orang itu sudah sedia berubah, namun paling tidak mereka yang pernah mengundi BN pada PRU lalu tidak lagi mengundi BN pada kali ini.

"Sungguhpun pada masa yang sama 6,244 pengundi itu tidak pula mengalihkan undi mereka kepada PAS atas sebab sebab yang mereka sendiri tahu, tetapi arus penolakan terhadap kepimpinan DS Najib adalah cukup besar untuk membuat perubahan sebaliknya," kata beliau.

Bagaimanapun beliau optimis, jika jumlah tersebut dapat diterjemahkan menjadi undi kepada pembangkang, tidak mustahil perubahan politik yang besar akan berlaku dalam negara.

Keputusan PRK Rompin semalam PAS telah berjaya mengurangkan majoriti BN kepada 8,895. Pada PRU lepas BN menang dengan majoriti sebanyak 15,114 undi. – HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace