PRK Rompin: PAS berjaya tingkatkan sokongan

| .

KUALA LUMPUR: PAS menang dan berjaya meningkatkan sokongan pengundi di banyak unit peti undi (UPU) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dalam keadaan BN berhadapan dengan kerugian dan kemerosotan sokongan yang sangatr ketara.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kebiasaannya BN menang besar dalam mana-mana PRK khususnya di tempat mereka sebagai penyandangnya.

Namun, meskipun limpahan janji pembangunan dan projek segera turun di Rompin, BN masih gagal mempertahankan reputasi sokongan mereka.

"Ia memberi satu petunjuk bahawa isu-isu yang dibawa oleh PAS berkaitan percukaian GST, salah urus kewangan negara, undang-undang Islam, Felda, pemilikan geran tanah yang dizalimi sejak puluhan tahun di Kuala Rompin semakin mendapat perhatian daripada pengundi Rompin.

"Apatah lagi berlaku peningkatan undi khususnya di kawasan Felda yang terkenal sebagai kubu Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Peratusan keluar mengundi bagi PRK Rompin adalah merosot iaitu 74% sahaja daripada 53,294 pemilih berdaftar telah keluar membuang undi pada hari semalam berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu iaitu sebanyak 85.9%.

Bagi mengukur secara lebih tepat tahap sokongan pengundi terhadap parti-parti yang bertanding dalam PRK Rompin, perbandingan keputusan semalam dengan keputusan PRU 13 perlu dibuat secara relatif dengan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua pilihanraya.

Pada PRU13, jumlah keluar mengundi ialah 45,849 orang dan keputusannya ialah BN mendapat 30,040 undi dan PAS pula mendapat 14,926 undi menjadikan majoritinya ialah 15,114 undi.

Bagi PRK Rompin yang diadakan semalam pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan keputusannya iaitu BN mendapat 23,796 undi dan PAS pula mendapat 14,901 undi menjadikan majoritinya ialah 8,895 undi. Undi rosak pula ialah 591 undi.

Ini bermakna terdapat 39,288 orang yang telah keluar membuang undi pada hari semalam.

Dengan kemerosotan peratusan keluar mengundi semalam, bagi mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13, BN sekurang-kurangnya patut mendapat 25,741 undi dan PAS pula memadai mendapat 12,790 undi sahaja menjadikan majoritinya ialah 12,951 undi.

Tetapi, berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, undi BN menurun sebanyak 20.8% (6,244 undi) berdasarkan PRU13 lalu atau merosot 8.2% (1,945) untuk berada pada kedudukan mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas.

"Menariknya, undi PAS pula telah melebihi 14.2% (2,111 undi) daripada kedudukan untuk mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas. Mudahnya, tahap sokongan terhadap PAS sebenarnya meningkat.

"Ini adalah satu kejayaan besar bagi PAS di kawasan pengundi majoriti Melayu dalam keadaan sebahagian tenaga kerja pilihan raya PAS dari Perlis, Kedah, Penang dan Perak dibekalkan ke Permatang Pauh," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

"Syabas juga diucapkan kepada Ustaz Nazri Ahmad kerana bersedia memikul amanah jamaah dan di atas semua pengorbanan yang telah dilakukan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita semua," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus. - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace