Kerajaan diselar kerana beku ambil kakitangan baru

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak muda Malaysia (SAMM) hari ini meminta agar kerajaan melakukan rombakan di dalam Jabatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan memberi fokus kepada isu jenayah dan trafik.

Penyelarasan Kebangsaan SAMM, Asrul Nizam Abd. Jalil berkata demikian ketika mengulas cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membekukan pengambilan penjawat awam.

Kata beliau, anggota polis terutamanya Cawangan Khas (SB) hanya tertumpu kepada pemantauan politik semata-mata dan tidak melaksanakan tugas untuk membenteras jenayah.

"Mana-mana anggota SB yang tertumpu kepada kerja-kerja politik perlu diserap agar mereka menggunakan sepenuhnya tanggungjawab untuk kerja-kerja banteras jenayah.

"Kalau hanya menumpukan aktiviti politik, ia tidak dapat membantu untuk kita menrunkan kadar jenayah," katanya melalui satu kenyataan.

Beliau turut menggesa agar cadangan pembekuan itu tidak meliputi mana-mana kementerian yang kritikal terutamanya Kementerian kesihatan.

"Selain pembekuan pemgambilan, kerajaan perlu menutup terus operasi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang mana senarai perjawatan 2015, Jasa diperuntukkan seramai 145 penjawat awam pelbagai gred melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM 21,718,100.

"Di sebalik perbelanjaan puluhan juta ini, kebanyakan kakitangannya adalah merupakan ahli Umno dan juga modus operandinya adalah menjadi jentera propaganda parti politik.

"Apakah Umno tidak mempunyai kekuatan sama ada dari segi tenaga manusia dan kewangan untuk mewujudkan jentera propaganda sendiri tanpa menggunakan Perbendaharaan Negara," soal beliau.

Dalam pada itu, SAMM juga mendesak Kerajaan untuk memansuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak Permata, Kemas dan Perpaduan sebaliknya menyerap semua Taska dan Tabika ini di bawah program Pra-Sekolah Kementerian Pendidikan.

Jelas Asrul Nizam, Permata mempunyai 582 penjawat jawatan dan menelan perbelanjaan RM 30,690,100. Manakala Kemas mempunyai lebih 900 penjawat jawatan dan perbelanjaan RM 135,594,600.

"Wujudnya jawatan bertindih di dalam kementerian perlu diberi perhatian khusus, selain itu kerajaan juga perlu mengurangkan perbelanjaan dan seharusnya mensasarkan kepada projek-projek, jabatan-jabatan dan agensi-agensi tertentu bukannya semberono hingga menjejaskan operasi dalam sektor kritikal," sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace