Peluang kedua kepada pesalah pedofil zalimi pelajar

| .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan hasrat Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberikan peluang kedua kepada pesalah pedofil sebagai zalim.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, cadangan memberikan peluang kedua kepada Nur Fitri Azmeer Nordin menzalimi pelajar lain yang pernah dibuang dan ditamatkan pengajian di institusi pelajaran Mara dengan kesalahan yang jauh lebih ringan.

"Terdapat kes-kes seperti meniru, ponteng kelas dan seumpanya yang dikenakan tindakan diberhentikan pengajian yang jelas jauh lebih ringan dari kesalahan yang dilakukan oleh Fitri," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, cadangan tersebut juga menzalimi Fitri yang jelas bukan memerlukan peluang kedua tetapi lebih memerlukan bimbingan.

Katanya, tiada jaminan Fitri tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi sebaliknya cadangan Mara itu bersifat pramatang dan keterlaluan.

"Oleh itu hasrat yang hanya bergantung kepada laporan jabatan penjara di UK adalah asas yang dangkal tanpa mengambil kira aspek agama dan budaya masyarakat Islam di Malaysia.

"Seharusnya beliau dipulihkan terlebih dahulu mengikut acuan kita bagi mengembalikan dia kepada kehidupan yang normal. Pastikan dia sedar dan akur tentang perilakunya songsang agar proses pemuliah dan bimbingan dapat dilakukan dengan baik," katanya lagi.

Fitri merupakan pelajar jurusan matematik yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown di London atas kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah membabitkan kanak-kanak.

Fitri mengaku bersalah terhadap 17 tuduhan memiliki, membuat dan mengedar gambar lucah kanak-kanak, yang disifatkan polis UK sebagai antara yang paling melampau pernah dilihat mereka. - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace