'Keluar beramai-ramai untuk undi Kak Wan'

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan para pengundi  Permatang Pauh supaya bijak membuat pilihan pada pilihan raya kecil (PRK) esok.

Beliau menyifatkan keputusan dalam PRK Rompin, Pahang boleh menjadi membakar semangat pengundi untuk menambah majoriti Pakatan Rakyat di Permatang Pauh.

"Semua pengundi yang berhak melaksanakan tanggungjawab di Permatang Pauh esok mesti keluar beramai-ramai untuk undi Kak Wan. Bukan pengundi sahaja malahan ahli PAS di sini juga mesti undi Pakatan Rakyat menerusi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)," tegasnya.

Katanya, kemerosotan undi Barisan Nasional (BN) di Rompin semalam dapat memberikan inspirasi kepada pengundi menolak BN yang tidak bertanggungjawab dan menekan rakyat.

Tambahnya, jika rakyat terus memberi tekanan pada BN menerusi dua PRK berkenaan pasti BN lebih berhati-hati untuk memperkenalkan undang-undang mahupun akta yang zalim.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pasti 'panas' melihat perkembangan mutakhir ini apabila mendapat isyarat rakyat tidak menyebelahi BN walaupun jutaan ringgit ditaburkan kepada pengundi.

"Najib mesti tidak senang duduk melihat peratus undi yang keluar di Rompin. Itu negeri dia kalau negeri lain tak apalah sangat," kata beliau yang juga Pengarah PRK PAS di Permatang Pauh. - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Share on Myspace