PRK jadikan penduduk Rompin kini ‘bernilai tinggi'

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

“Tidak berapa gembira”. Demikianlah reaksi petugas-petugas BN beberapa jam selepas tamatnya waktu mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.091 Rompin, kelmarin.
 
Jika diimbas kembali, tentu semua masih ingat bahawa Umno dan BN memasuki PRK ini dengan penuh keyakinan untuk menang lebih besar.
 
Ini terbukti dengan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri selaku pengarah PRK tersebut, yakin bahawa calonnya Datuk Hasan Arifin berupaya menambah undi majoriti 15,114 yang diperolehi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
 
Kenyataan itu dibuat ketika mula-mula Hasan diumumkan sebagai calon BN. Kemudian keyakinan itu diulang  beberapa kali seperti disiarkan media.
 
Tiada yang menghairankan kerana Hasan sendiri adalah ‘figure’ paling besar di Rompin. Beliau bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, juga pernah empat penggal menjadi Adun Ibam selain pemangku Ketua Bahagian Umno Rompin sedangkan calon PAS Ustaz Nazri Ahmad tidaklah dikenali ramai, selain daripada penduduk Keratong 5 dan ahli-ahli parti itu. Anak muda yang sangat merendah diri itu tiba-tiba muncul mencabar hegemoni BN.
 
Siapa sangka Ketua Pemuda PAS Pahang yang baru dinobatkan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin itu tiba-tiba menggoyahkan ‘keangkuhan’ parti pemerintah dengan mengurangkan hampir separuh majoriti BN.
 
PRK kali ini BN mendapat 23,796 undi berbanding PAS yang memperoleh 14,901 dengan majoriti  sebanyak 8,895. Pada PRU lepas BN mendapat 30,040 undi berbanding PAS sebanyak 14,926 undi. Ertinya BN kehilangan hampir separuh atau 41 peratus daripada keseluruhan undi.
 
Ingat, ini PRK bukan PRU. Jadi keputusan sudah tentu di luar jangkaan dan jangkauan otak mereka. Bukan itu saja, malah PAS yang sebelum ini kalah di semua 38 unit peti undi (UPU) kali ini berjaya menumpaskan BN di empat iaitu Pianggu, Muadzam Shah, Felda Keratong 4 dan Felda Keratong 2.
 
UPU Keratong 2 pula mempunyai cerita lain, kerana di situ merupakan tempat keluarga bekas Adun Ibam Datuk Safri Abdul Aziz. Beliau sebelum ini disebut-sebut antara calon BN dalam PRK yang baru berlalu selain Hasan.
 
Kita percaya di pihak BN, sudah tentu merasakan itu kemerosotan yang agak besar jika tidak masakan di media hari ini Muhyiddin berjanji akan membuat post-mortem berikutan kemerosotan dan kekalahan di tiga peti undi tersebut.
 
Umum sudah lama melihat dalam mana-mana PRK menyaksikan parti-parti pembangkang terpaksa berlawan menentang sebuah kerajaan. Bukan rahsia lagi ‘3M’ digunakan iaitu money, machinary dan media digunakan semahu-mahunya.
 
Jika di tempat lain wang BR1M diterima pada bulan depan, penduduk Rompin pula bertuah kerana demi PRK dasar kerajaan itu berubah diagihkan menjelang pemilihan. Bukan itu saja, malah basikal, cermin mata serta barang keperluan lain diedarkan dengan mudah.
 
Agensi-agensi kerajaan pula bergerak aktif dalam apa juga program khas untuk memenangkan calon BN. Sebagai contoh, pejabat pentadbiran Felda dibuka terus 24 jam sehari dalam tempoh kempen. Menteri-menteri juga bertumpu dan berkempen melalui portfolio masing-masing.
 
Televisyen dan radio yang sudah tentu dikuasai kerajaan, masih menjadi sumber rujukan terutama bagi pengundi saluran satu. Manakala sumber daripada medium internet hanya dipelopori generasi muda saja, terutama di kawasan luar bandar dan pekan kecil seperti Rompin.
 
Bagi PAS pula meskipun belum menang namun tetap mencatat sejarah. Bayangkan dalam mana-mana PRK yang lazimnya menyiarkan berita ahli PAS masuk Umno, PRK Rompin pula sebaliknya. Hampir 1,000 orang terutamanya golongan muda Felda menyeberang menyertai PAS.
 
Lebih manis lagi, lima cawangan PAS berjaya ditubuhkan dalam tempoh kempen sahaja. Ertinya jika golongan muda ini terus diprogramkan, cawangan-cawangan ditambah dengan gerak kerja serta tenaga tempatan dipertingkatkan dengan bidang masing-masing secara berfokus maka kita percaya pencapaian yang lebih baik dapat dicapai pada PRU akan datang.
 
Akhirnya, PRK kali ini menjadikan penduduk Rompin kini ‘bernilai tinggi’. Jika sebelum ini parlimen ini sentiasa dianggap ‘fixed deposit’ bagi BN tetapi kini tidak lagi boleh dipermudah dan dipermainkan. Kita percaya janji-janji yang dibuat akan dinilai semula. Semuanya gara-gara PRK yang memperlihatkan orang Rompin semakin cerdik berpolitik. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace