Pesanan Anwar dari penjara Sungai Buloh

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mesej dari penjara Sungai Buloh supaya rakyat terus menyokong Pakatan Rakyat dan memastikan kemenangan mutlak PKR dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PRK Permatang Pauh yang diadakan hari ini bukan kehendak rakyat tetapi kerana kerakusan Barisan Nasional ( BN) yang tidak mahu melihat kelibat Anwar dalam politik tanah air.

Menurutnya, semalam peguam Anwar telah memfailkan saman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan hak beliau membuang undi di Permatang Pauh.

"Pesanannya dari penjara ialah supaya teruskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat," ujarnya.

Katanya, Anwar sendiri sedaya upaya mencari jalan perundangan untuk keluar mengundi berikutan adanya Akta 119 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang keluar mengundi.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Sementara itu, Wan Azizah menerusi facebook memaklumkan, beliau akan mengundi di lokaliti Sungai Semambu, Kubang Semang dalam Dun Permatang Pasir, pagi ini.

"Kak Wan jemput semua pengundi hadir, jangan lupa undi calon Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, insya Allah. Terima kasih Kak Wan ucapkan kepada semua," tulisnya. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace