Anak harap tingkat undi wanita seiring anak muda

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengakui lonjakan sokongan dalam kalangan kaum wanita di Felda kurang menyerlah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin baru-baru ini.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, kebanyakan wanita di Felda melibatkan diri di dalam Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) yang dianggap sangat aktif sebagai mata rantai Umno BN.

"Mereka ini seolah-olah di kuarantin di balai raya. Dan apabila kita mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah golongan ini tidak ada. Sebahagian mereka berada di balai raya dengan pelbagai akiviti seperti memasak," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, penglibatan mereka ini berterusan sepanjang kempen pilihan raya menyebabkan pihak Anak menghadapi kesukaran untuk mendekati mereka.

Bagaimanapun katanya, pihak Anak berhasrat memberi tumpuan kepada mereka pada masa akan datang dengan mengadakan kerjasama bersama NGO Muslimat seperti Ameerah dan Nisa bagi mendekati golongan ini.

Bagi Mazlan, jika PAS mendapat undi daripada kaum wanita di Felda pada PRK Rompin  memberi lonjakan luar biasa apatah lagi seiring dengan sokongan anak muda yang lain.

"Saya yakin, jika kita dapat undi kaum wanita ini pada PRU akan datang kita boleh buat kejutan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan PRK Rompin khususnya kejayaan mendapat undi di beberapa kawasan peti undi Felda iaitu Keratong 2 dan Keratong 4.

Keputusan PRK Rompin yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan BN mendapat 23,796 undi dan PAS mendapat 14,901 undi.

Pada PRU13 lalu, BN mendapat 30,040 undi. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace