Respons Kadir Jasin kepada pegawai khas Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada ramai pegawai khas Perdana Menteri, Rizal Mansor, telah menjawab perbincangan kita mengenai “tajaan” majlis perkahwinan anak (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak dan Rosmah Mansor, Nordayana Najwa.

Demikian tulis Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin dalam blognya, semalam.

"Saya dimaklumkan oleh beberapa orang pelayar ruang siber dan membaca sendiri bahawa Encik Rizal telah mengeluarkan kenyataan yang menuduh saya sebagai "seorang Melayu yang kurang arif adat"," tulisnya.

Menurutnya, setelah mencari (bukan di tepi jalan) tetapi dalam Internet, beliau dapati dia telah mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjawab postingnya pada 3 Mei yang bertajuk 'Perbendaharaan tidak cukup duit?'.

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk 'Pejabat PM Kata Saya Tak Tahu Adat'.

ALHAMDULILLAH. Doa kita dijawab dan suara kita didengar.

Encik Rizal Kata saya kutip maklumat di tepi jalan

Salah seorang daripada ramai pegawai khas Perdana Menteri, Rizal Mansor, telah menjawab perbincangan kita mengenai “tajaan” majlis perkahwinan anak (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak dan Rosmah Mansor, Nordayana Najwa.

Saya dimaklumkan oleh beberapa orang pelayar ruang siber dan membaca sendiri bahawa Encik Rizal telah mengeluarkan kenyataan yang menuduh saya sebagai "seorang Melayu yang kurang arif adat."

Setelah mencari (bukan di tepi jalan) tetapi dalam Internet, saya dapati dia telah mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjawab posting saya pada 3 Mei yang bertajuk "Perbendaharaan tidak cukup duit?" (baca di sini).

Dalam rencana itu saya mempersoalkan kenyataan awal Encik Rizal bahawa majlis kenduri di KLCC ditaja oleh pengantin lelaki, Daniyar Kessikbayev, dan sebahagian kos rombongan pengantin perempuan ke Kazakhstan ditanggung oleh keluarga besan Mohd Najib.

Pengantin Baru Daniyar dan Nooryana

Saya bertanya, adakah elok bagi seorang Perdana Menteri menerima tajaan daripada pihak luar untuk mengadakan majlis mewah yang undangannya dikeluarkan atas nama beliau (Perdana Menteri).

Bagaimanapun, Encik Rizal tidak pula menghantar jawapan beliau itu kepada blog kita ini atau kepada mana-mana e-mel saya. Mungkin blog “tepi jalan” macam blog kita ini tidak layak dilayan.

Namun saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana dengan kenyataannya itu lebih ramai anggota masyarakat mendapat tahu mengenai tulisan saya dalam blog ini.

Pengantin Lelaki Tanggung Biaya

Dalam kenyataannya, Encik Rizal, antara lain, berkata: "Adalah menjadi adat apabila kita berkahwin pengantin lelaki menanggung kos-kos perbelanjaan perkahwinan kedua-dua belah pihak.

"Sebagai contoh dalam adat Melayu apabila wang hantaran diberikan, wang tersebut bertujuan untuk digunakan oleh keluarga pengantin perempuan untuk buat majlis kenduri.

"Tidak timbul soal Perdana Menteri menerima tajaan dari keluarga lelaki. Dalam hal ini, nampaknya Kadir Jasin merupakan seorang Melayu yang kurang arif adat dan sudah tentulah jika kenduri di sebelah lelaki pihak lelaki lah yang menanggungnya."

Saya dimaklumkan oleh seorang anak buah yang bekerja dengan Perdana Menteri bahawa Encik Rizal adalah pegawai khas kepada Perdana Menteri. Tapi seorang peguam yang akrab dengan isteri Perdana Menteri, (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor beri tahu bahawa Encik Rizal juga bertindak sebagai pembantu peribadi Rosmah.

Terima kasihlah kepada Encik Rizal kerana menegur “kebangangan” saya dan, pada masa yang sama membantu saya menguar-uarkan apa yang saya tulis dalam blog kita ini. Terima kasih juga kepada akhbar dan portal berita yang memetik daripada blog kita ini. Tapi mintalah petik dengan betul.

Tidak mengapalah kalau Encik Rizal kata saya 'kutip fakta tepi jalan'. Cuma kalau Encik Rizal sekali-sekala turun padang, dia tentu sedar yang di Malaysia sekarang ini dinding, lantai, siling dan bahu jalan pun ada mata, telinga dan mulut.

Saya rasa Encik Rizal sendiri maklum bahawa blogger, khususnya yang kritikal terhadap Perdana Menteri, tidak dijemput untuk majlis taklimat atau sidang akhbar kerajaan. Jadi terpaksalah mereka mengutip fakta di tepi-tepi jalan.

Tidak tahulah saya kalau blogger upahan Umno dan blogger prokerajaan dijemput taklimat dan sidang akhbar. Tapi kalau Presiden Umno sendiri kata blogger Umno bangang, kesimpulannya mereka pun tidak dijemput. Sebaliknya kalau dijemput tapi bangang juga, memanglah betul kata Perdana Menteri, blogger Umno bangang.

Saya Hanya Country Yokel

Jadi saya tidak sikit pun kecil hati dengan ketegasan Encik Rizal menjawab hujah saya. Terlanjur itu, saya memintanya menjawab hujah saya dalam posting yang sama yang berbunyi "Saya harap Saudara Rizal Mansor atau mana-mana ejen PMO membaca catatan ini dan mengesahkan sama ada fakta tersebut betul atau palsu. Saya mendapat tahu ada ahli rombongan pengantin ke Kazakhstan turut serta atas alasan "lawatan kerja rasmi” yang diarahkan oleh kerajaan. Betul atau palsu?”

Alhamdulillah ramai yang baca kenyataan Encik Rizal itu. Pagi ini satu sumber tepi jalan yang terbaca kenyataan itu memberitahu saya maklumat berikut yang saya minta Encik Rizal sahkan betul atau palsu, iaitu hantaran kahwin anak Perdana Menteri adalah sebanyak AS$3 juta (kali 3.7 jadi RM11.1 juta). Ini tak termasuk mas kahwin dan emas permata. Kalau RM11.1 juta tentulah lebih daripada cukup. Jadi saya minta maaflah.

Sebagai penjelasan kepada Encik Rizal yang mungkin tidak begitu mengenali saya, saya tidak pernah di mana-mana pun mendakwa diri saya budayawan. Malah kalau beliau membaca tulisan-tulisan saya, saya kerap mengatakan saya hanyalah seorang "country yokel" (orang kampung).

Saya tidak mempunyai kecanggihan orang bandar atau para “gentlemen” yang belajar di England atau para “ladies” yang tamat “finishing schools”. Saya gembira menjadi orang kampung kerana itulah asal-usul saya.

Yang saya tahu mengenai adat perkahwinan Melayu (Melayu kampung macam sayalah), pengantin perempuan membiayai majlis di sebelahnya dan pengantin lelaki membiayai majlis di sebelahnya. Perjalanan rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan ditanggung sendiri oleh pihak pengantin lelaki. Begitu juga apabila pengantin perempuan bertandang ke rumah pengantin lelaki, pihak pengantin perempuanlah yang menanggung kosnya.


Kenduri kampung agak-agak padan saja

Bukanlah adat pengantin lelaki menaja kenduri pengantin perempuan atau pengantin perempuan menaja kenduri pengantin lelaki. Kalau berlaku pun mungkin “exception” dan bukan amalan. Sama ada pengantin perempuan menggunakan wang hantaran untuk membiayai kenduri, itu adalah pilihan peribadi.

Tak tahulah saya kalau dalam kes perkahwinan anak Perdana Menteri, hantarannya begitu besar macam saya tanya di atas sehingga mampu membiayai beberapa majlis jamuan di tempat-tempat mewah yang dihadiri ribuan tetamu.

Untuk tidak menimbulkan syak wasangka seterusnya dan tidaklah perlu blogger macam saya mengutip maklumat di tepi jalan, eloklah Encik Rizal nyatakan secara terperinci jumlah hantaran tunai serta emas permata yang diterima oleh anak Perdana Menteri kita itu.

Tapi saya akuilah yang sekarang ini ada juga kenduri kahwin diadakan bersama oleh pengantin perempuan dan lelaki bagi menjimatkan kos atau kerana mereka bukan daripada keluarga kaya.

Adat Melayu Mana Satu?

Mohon maaflah kalau saya keliru adat Melayu mana yang keluarga Perdana Menteri guna sehingga pengantin lelaki tanggung kos kenduri di kedua-dua belah pihak.

Adat Melayu Bugis kah? Adat Melayu Minang kah? Atau adat orang Kazakh yang telah dibugiskan dan diminangkabaukan?

Dalam konteks yang berlainan, ramai juga orang keliru mengenai anak-anak Perdana Menteri dan Rosmah. Sebagai pencerahan, berikut adalah maklumat yang saya peroleh (bukan dari tepi jalan) tetapi daripada Internet:

Mohd Najib (dengan isteri pertama Puteri Zainah Eskandar 1976–1987)

Mohd Nizar
Puteri Norlisa
Mohd Nazifuddin

Rosmah Mansor (dengan suami pertama Abdul Aziz Nong Chik)

Riza Shahriz
Azrene Soraya

Najib dan Rosmah (sejak 1987)

Nooryana Najwa
Nor Ashman

Ibu Bapa Najib

Tun Abdul Razak Hussein
Tun Rahah Mohd Noah

Ibu Bapa Rosmah

Mansor Katas
Fatimah Keda

Keturunan Najib: Bugis
Keturunan Rosmah: Minangkabau


Azrene Soraya dengan suaminya Fadzley dan anak-anak mereka

Encik Rizal berkata lagi: "Ini adalah sesuatu yang memalukan memandangkan beliau seorang bekas wartawan kanan dan orang yang pernah mengetuai organisasi media. Kalau ini cara dia menulis saya boleh simpulkan selama ini fakta beliau semuanya dikutip tanpa asas.”

Buat makluman Encik Rizal, saya masih seorang wartawan dan ketika saya mengetuai organisasi media satu masa dulu, rasa-rasanya organisasi itu tidaklah seteruk hari ini.

Akhir kalam,  walaupun saya tidaklah hebat sangat dalam hal adat resam, saya tetap tahu satu dua pantun Melayu dan menyesuaikannya dengan keadaan. Maka terimalah pantun saya.

Buah nangka di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya orang tua tak tinggi belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Dan untuk generasi muda yang rasa mereka tahu semua, terimalah pantun nasihat nenek moyang kita.

Pergi memburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Wallahuaklam.

Share on Myspace