Keputusan PRK Permatang Pauh seawal 9 malam

BERNAMA | .

PERMATANG PAUH: Sebanyak 24 pusat mengundi dengan 130 saluran untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 71,252 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
    
Pusat mengundi itu akan ditutup pada 5 petang.
    
Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi telah diadakan pada Ahad lepas di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang.
    
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80 peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.
    
"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei, 2013," katanya.    
    
Beliau berkata keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh dijangka diketahui seawal 9 malam.
    
Proses pengiraan undi PRK ini akan dilakukan di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada 5 petang ini.
    
Hari ini merupakan cuti peristiwa di Pulau Pinang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.
    
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
    
PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. - Bernama

Share on Myspace