Awas, akhbar Harakah palsu disebar di Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .

Akhbar Harakah palsu (atas) dan Harakah Bil 2045 edisi Jumaat terbaru yang sebenar (bawah).

KUALA LUMPUR: Terdesak untuk meraih kemenangan dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan akhbar Harakah palsu untuk melaga-lagakan PAS dengan PKR.

Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop ketika menghubungi Harakahdaily berkata, beliau menerima panggilan bertalu-talu berhubung kewujudan Harakah palsu itu dan menerima imej naskah palsu itu melalui WhatsApp.

"Saya ingin menegaskan bahawa Harakah palsu yang memaparkan tajuk 'PKR angkuh enggan minta maaf' itu bukan diterbitkan Jabatan Penerangan PAS Pusat malah keluaran terbaru Harakah bil. 2045 memaparkan tajuk 'Rompin: Majoriti BN susut," ujarnya.

Dr Rosli menyifatkan penyebaran Harakah palsu itu sebagai tindakan terdesak pihak tertentu untuk melaga-lagakan PAS dan PKR bertujuan membangkitkan sentimen permusuhan antara penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau menasihati para pengundi di Permatang Pauh supaya tidak terpedaya dengan taktik murahan dan kempen kotor pihak tertentu yang tidak mampu  berhadapan dengan Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam PRK Parlimen Permatang Pauh secara 'anak jantan'.  

Pihaknya juga telah mendapat arahan daripada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Harakah yang juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali agar laporan polis dibuat berhubung penyebaran Harakah palsu itu. - HARAKAHDAILY, 7 MEI 2015

Share on Myspace