EKJS: Mahkamah tolak saman pemula Gerakan

| .

 

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman pemula Gerakan bagi menghalang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) II pindaan 2015 di Kelantan.

Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membaca keputusannya bersetuju bantahan awal defendan, di mana plaintif perlu mengemukakan notis kepada Hakim Mahkamah Persekutuan bagi merujuk kes tersebut sebelum dibawa ke mahkamah tinggi.

Katanya ia selaras dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu saman pemula terbabit difailkan ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan belum lagi meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993).

Saman tersebut difail pada 18 Mac 2015 sedangkan Dun Kelantan meluluskan pindaan rang undang-undang berkenaan pada 19 Mac lepas.

Sehubungan itu mahkamah menolak saman tersebut dengan kos. Hakim juga mengarahkan plaintif membayar RM10,000 kepada defendan.

Pada 18 Mac lalu Gerakan memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang hendak dilaksanakan di Kelantan.

Saman itu difail tiga anggota parti berkenaan iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie.

Plaintif berpendapat Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 menyalahi undang-undang kerana menganggap Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang (ultra vires).

Pada sebutan kes terbabit sebelum ini Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan Shahidani Abdul Aziz berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 128, kes seperti itu perlu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Pada perbicaraan hari ini defendan diwakili peguam Andy Yong dan dua lagi peguam dari Tetuan NS Leong dan ST Low.

Manakala kerajaan negeri diwakili Noriah Osman. Turut hadir peguam pemerhati daripada Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Malam tadi Dewan Ulama PAS Kelantan menganjurkan solat hajat di Padang Perdana bagi memohon kepada Allah SWT KJS dapat dilaksanakan di Kelantan. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace