43% keluar mengundi setakat 12 tengah hari

BERNAMA | .

PERMATANG PAUH: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh berjalan lancar dengan 43 peratus atau 30,865 daripada 71,252 pengundi berdaftar keluar mengundi setakat 12 tengah hari ini.
    
Keadaan dilaporkan mulai sesak di kebanyakan 25 pusat mengundi berikutan cuaca cerah sejak awal pagi yang menggalakkan orang ramai keluar mengundi.
    
Calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin dan anggota keluarganya antara yang terawal keluar mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, di sini.
    
Suhaimi, 44, mengundi pada 8.10 pagi. Ibu dan kakak sulung Suhaimi, Che Jan Ahmad dan Suraya Sabudin tiba di sekolah berkenaan pada kira-kira 8.30 pagi.
    
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada 8.40 pagi.    
    
Calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan Salleh Isahak (Bebas) tidak mengundi kerana bukan pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen itu.
    
Proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini walaupun berlaku beberapa keadaan yang boleh menimbulkan ketegangan.
    
Terdapat beberapa kejadian perang mulut antara penyokong parti-parti bertanding terutama PKR dan BN namun berjaya dikawal polis.
    
Sejak awal pagi penyokong parti-parti PKR dan BN berkumpul di bahu-bahu jalan bagi menyatakan sokongan kepada calon-calon mereka, dan anggota polis trafik dilihat mengawal lalu lintas di beberapa kawasan yang sesak.
    
Pengundi tertua, Othman Daud, 103, tiba di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada 8.05 untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menyediakan kemudahan untuk warga emas.
    
Rata-rata warga emas yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan SPR.
    
Sebanyak 71,252 pengundi biasa layak mengundi hari ini menakala 549 orang atau 87.6 peratus daripada 627 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka Ahad lalu.
    
PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. - Bernama

Share on Myspace