Siasat Tabung Haji beli tanah 1MDB

| .

 

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menuntut satu siasatan dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Lembaga Tabung Haji (LTH) terlibat menyelamatkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia melalui pembelian dua bidang tanah di Tun Razak Exchange bernilai RM772 juta menggunakan dana pendeposit.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, tindakan ini boleh menjejaskan simpanan umat Islam di Malaysia yang berhajat menunaikan haji.

"Abim menuntut satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM. Siasatan ini bagi memastikan kebenaran laporan yang tersebar ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan, jika dakwaan ini benar, ia merupakan ulangan kepada skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

"Tapi ia lebih buruk lagi kerana menggunakan duit tabungan bakal jemaah haji Malaysia," tegasnya.

Beberapa laporan dan blog mendakwa LTH membeli 2 tanah di projek 1MDB, Tun Razak Exchange, masing-masing pada harga RM194 juta (RM2,860 kaki persegi) dan RM578 juta (RM3,900 kaki persegi). - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace