PRK Permatang Pauh panas, BN tak ikut peraturan

MOHD SABRI SAID | .

BN melanggar peraturan apabila membina pondok panas dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi.

PERMATANG PAUH: Suasana tegang membabitkan perayu undi BN dan PKR di beberapa pusat daerah mengundi mencetuskan perang mulut dan serangan fizikal.

Antara lokasi panas adalah Sekolah Menengah Guar Perahu, Penanti dan Bukit Indera Muda, Tanah Liat.

Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh turun mententeramkan keadaan di Sekolah Menengah Guar Perahu (gambar kanan).

Di Sekolah Menengah Guar Perahu, petugas kempen BN didakwa tidak mengikut peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila mendirikan pondok panas di dalam kawasan 50 meter dari pusat pengundian.

Walaupun mendapat bantahan PKR, petugas kempen BN tetap berkeras mempertahankan lokasi pondok panas tersebut hingga diserbu penyokong Pakatan Rakyat.

Kehadiran petugas SPR dan polis berjaya meredakan keadaan.

Namun arahan pegawai SPR agar pondok panas BN itu diubah tidak dihiraukan petugas BN atas alasan 'menjaga maruah parti'.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yang kebetulan berada di tempat kejadian kesal dengan kejadian tersebut dan mahu SPR dan polis bertindak tegas.

"Kalau Pakatan Rakyat buat kesalahan dah lama polis dan SPR berkeras. Apa yang kami boleh buat adalah buat laporan polis. Biar polis pula yang bertindak," tegasnya. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace