Rompin: Tidak mustahil Najib bubar parlimen lebih awal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan raya Kecil (PRK) Rompin memberikan loceng amaran buruk buat Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, walaupun BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut namun majorotinya merosot teruk dengan jumlah undi yang diterimanya juga merudum berbanding PRU13.

"Jelas ini membuktikan rakyat mula bangkit dan sedar dari lamunan mimpi indah yang dicanang BN. Tidak selamanya pengundi Felda yang dikatakan ‘fixed deposit’ Umno itu kekal menyokong mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.

Bahkan, kata beliau gelombang perubahan besar-besaran juga berlaku dalam kalangan anak muda yang merupakan pengundi saluran 3, 4 dan 5.

Menurutnya, jumlah undi yang diterima oleh calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad menunjukkan trend peningkatan sedangkan BN pula sebaliknya.

"Adakah BN khususnya PM Najib masih berada dalam ‘denial syndrome’ untuk menafikan sokongan rakyat kepadanya kian merosot?" tanya Mahfuz.

Katanya lagi, seluruh rakyat jelata begitu terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menambahkan lagi bebanan kehidupan mereka.

Tambahan pula, ujarnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus diasak hebat oleh Tun Dr Mahathir khususnya berkenaan penyelewengan 1MDB yang telah menyebabkan berbilion ringgit wang negara hilang entah ke mana.

Justeru, katanya tidak mustahil Najib akan membubarkan Parlimen lebih awal untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat sekaligus untuk memperlahankan serangan ke atasnya.

"Najib harus ingat, rakyat kini sudah sedar dan bangkit untuk membuat perubahan menyelamatkan negara daripada terus diperintah oleh rejim BN Umno.

"Semoga semangat gelombang perubahan di PRK Rompin ini akan disambut pula di PRK Permatang Pauh pada hari ini," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS. - HARAKAHDAILY 7/3/2015

Share on Myspace