Kenapa FGV jual tiga syarikat miliknya?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: NGO Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mempersoalkan tindakan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang mahu menjual ketiga-tiga syarikat milik agensi itu sedangkan syarikat terbabit mendatangkan keuntungan kepada Felda.

Penjualan itu yang termasuk Felda Travel, Felda Property dan Felda Prodata Systems, akan dijalankan menerusi proses tender terbuka.

Menurut Timbalan Presiden Anak, Nasaie Ismail tiga syarikat terbabit dimiliki oleh FGV dan ia juga milik Koperasi Permodalan Felda (KPF) melalui 51 peratus pegangan saham KPF dalam Felda Holding.
 
"FGV berjaya membeli Felda Holding yang sahamnya adalah milik KPF (51%) dan Felda (49%). Ketiga-tiga syarikat itu adalah anak syarikat Felda Holding dan sangat menguntungkan," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Felda Prodata merupakan pembekal perkakasan komputer dan IT antara terbesar di Malaysia malah perniagaannya sangat menguntungkan dan dikira selamat sebagai gergasi IT di Malaysia.

Manakala, Felda Travel merupakan syarikat pengendali umrah dan haji antara terbaik di Malaysia bahkan mempunyai aset tersendiri termasuk di Mekah, begitu juga Felda Property yang mempunyai aset dalam bentuk hartanah sekitar KLCC dan seluruh negara.

"Sedangkan selama ini FGV beria sangat memilikinya daripada KPF dan Felda. Adakah sudah wujud pembeli-pembelinya dikalangan kroni-kroni orang besar Felda atau orang politik di Putrajaya?

"Ataupun tujuannya untuk menunjukkan FGV mempunyai keuntungan untuk tahun 2015 setelah menjual aset berharga tersebut dalam keadaan harga sahamnya merudum teruk ketika ini dan dikhabarkan suku pertama 2015, FGV sudah rugi RM47 juta?," soalnya.

Bagaimanapun katanya, alasan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras iaitu sawit, getah dan gula juga satu pembohongan.

Ini kerana katanya, FGV juga melabur dalam bidang perhotelan, minyak and gas dan juga 'health line' bahkan perniagaan terasnya juga tidak memberangsangkan dengan pokok tua dan keperluan tanam semula di ladang FGV yang asalnya milik Felda Plantation.

Hari ini seperti yang dilaporkan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah akan menyelesaikan penjualan perniagaan bukan terasnya pada suku ketiga 2015.

FGV kemudiannya akan menumpukan kepada perniagaan terasnya sebagai pemain perladangan bersepadu penuh dalam sektor sawit, gula dan getah, kata Mohd Emir selepas memeterai dua memorandum kerjasama (MoC) semalam. – HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace