1MDB: Pengerusi Tabung Haji perlu letak jawatan

| .

 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangkan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan kerana tidak layak mempengerusikan lembaga yang menguruskan dana awam yang besar.

Husam berkata, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah petang ini ternyata bercanggah dengan penafian awal oleh Abdul Azeez.

Johan mengesahkan kesahihan sebahagian dokumen yang dibocorkan di media sosial mengenai pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX).

Beliau mengesahkan pembelian satu unit dengan harga diskaun.

Ia membuktikan badan tersebut digunakan untuk 'bail out' 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara kecil-kecilan.

"Sebagai pengerusi, Abdul Azeez mengetahui butiran transaksi ini sepenuhnya kerana sudah tentu ia dibawa ke mesyuarat lembaga di mana beliau mempengerusikannya.

"Jika beliau sudah mengetahuinya melalui mesyuarat lembaga Tabung Haji kenapa semalam ia menafikannya kecuali beliau mempunyai niat yang tidak baik.

Pemimpin seperti ini tidak layak mempengerusikan lembaga sebesar Tabung Haji yang menguruskan dana awam yang besar," kata Husam dalam satu kenyataan.

Husam turut mempersoal mengenai 'harga pasaran' sebanyak RM188.5 juta yang berpuluh kali ganda lebih tinggi dari harga asal yang diperoleh 1MDB.

"Pada awalnya, 1MDB hanya mendapat plot pertama dengan harga RM4 juta daripada kerajaan dan kini Tabung Haji perlu membayar RM188.5 juta kepada syarikat 1MDB," katanya.

Menurut beliau juga, isu pembayaran 100% harga tanah pada masa tandatangan SNP juga tidak dinafikan.

"Isu 1MDB sendiri yang belum mendapat kelulusan penuh dari pelbagai pihak berkuasa atas lot yang dicadangkan dibeli oleh TH juga gagal dijelaskan.

"Hal ini memungkinkan pelbagai risiko seperti terkandung dalam dokumen yang dibocorkan.

"Ini boleh membawa kepada pecah amanah wang caruman pendeposit Tabung Haji sekaligus memberi impak negatif kepada institusi yang amat disegani oleh masyarakat Malaysia ini," tegasnya.

Tegas beliau lagi, peristiwa ini membuktikan 1MDB dalam keadaan yang amat tersepit sehingga terpaksa melibatkan institusi kewangan negara yang lain dalam usahanya untuk menyelamatkan kedudukannya dan ini amat membimbangkan.

Justeru katanya, pencarum berhak membantah tindakan Tabung Haji dipergunakan sesuka hati untuk menyelamatkan 1MDB. - HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace