Wan Azizah menang isyarat kerjasama PR masih utuh

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh adalah isyarat kepada kekuatan kerjasama Pakatan Rakyat (PR) masih utuh.

Pengarah PRK.044 PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun berbagai badai dan ombak melanda hubungan antara parti dalam PR namun gerak kerja PRK telah berjaya mengatasinya.

“Bagi PAS khususnya kami berjanji untuk menyumbang undi terbanyak di Dun Permatang Pasir dan kami telah membuktikannya dengan komitmen para petugas tegar di MTD dan negeri-negeri dari utara yang bertugas termasuk Kota Bharu, Kubang Kerian dan sebahagian Selangor,” ujarnya.

Katanya, penyelarasan kerja di Bilik Operasi Induk PKR menandakan PR mampu mencapai matlamatnya yang lebih besar iaitu membuka lembaran politik baru.

Tambahnya, isu perkauman dan sentimen agama sempit tidak lagi menjadi tumpuan tetapi penderitaan rakyat adalah keutamaan untuk dibela.

Katanya lagi, kemenangan PR di Permatang Pauh perlu menjadi semangat tentang kesetiaan dalam bertahaluf dan dorongan untuk meneruskan agenda PR.

“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah Kak Wan dan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara telah dibela oleh pengundi Permatang Pauh. Tahniah para petugas PAS dan PKR serta DAP,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Menurutnya, Permatang Pauh menjanjikan harapan di sebalik saat sukar yang dilalui oleh ketiga-tiga parti.

Dr Wan Azizah selaku calon PKR yang mewakili PR memperolehi 30,316 undi mengalahkan calon BN, Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 dengan majoriti 8,841 undi.    

Calon Bebas yang menggunakan lambang kunci, Salleh Isahak mengutip 367 undi manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman (101), kedua-duanya hilang deposit.

Keputusan diumumkan oleh Pengurus PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail jam 10.15 malam ini di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.

Hadir sama meraikan kemenangan Wan Azizah di dewan itu ialah Timbalan Presiden PKR dan PAS, Mohamed Azmin Ali dan Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. – HARAKAHDAILY 7/5/2015

Share on Myspace