Permatang Pauh: AMK ucap terima kasih pada DAP, PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) berterima kasih kepada pengundi, penyokong dan rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS yang membantu memenangkan PKR dalam PRK Permatang Pauh, 7 Mei, semalam.

“kami ingin berterima kasih kepada pengundi-pengundi serta penyokong, terutamanya dikalangan anak-anak muda, yang telah bertungkus-lumus memastikan kejayaan bagi KEADILAN. Juga kepada rakan-rakan kami di DAP dan PAS yang bergandingan menyumbang ke arah kemenangan ini,” ujar Ketua Angkatan Muda Keadilan, Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kejayaan PKR mengekalkan kerusi P44 Permatang Pauh merupakan kemenangan moral kepada Pakatan Rakyat dan mesej kepada Umno-BN.

“Keputusan ini juga memberi mesej yang jelas kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa rakyat sudah jemu dengan kepincangan di dalam tadbir urus negara terutamanya dengan perlaksanaan cukai GST yang membebankan,” ujarnya lagi.

Dalam PRK ini Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR), menewaskan tiga calon lain iaitu Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia atau PRM) dan Salleh Isahak (bebas) dengan majoriti 8,841.

“Angkatan Muda Keadilan ingin mengucapkan penghargaan di atas sokongan yang diberikan oleh pengundi-pengundi Permatang Pauh kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dan memastikan kerusi P44 kekal di tangan Pakatan Rakyat.

“Keputusan ini juga membuktikan penduduk Permatang Pauh terus bersama-sama menolak fitnah dan kezaliman terhadap Anwar Ibrahim,” kata Nik Nazmi.

Permatang Pauh mempunyai 71,699 pemilih dengan 70 peratus Melayu, 23 peratus Cina dan 6 peratus India. – HARAKAHDAILY 8/5/2015

Share on Myspace