Pengurusan TH orang berkepentingan dalam 1MDB?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Beberapa individu di dalam Pengurusan Tabung Haji juga mempunyai jawatan penting dalam Syarikat 1MDB dan secara tidak langsung menzahirkan kewujudan elemen konflik kepentingan.

Penyelidik di Pusat Penyelidikan PAS Syed Ahmad Fadhli berkata, amat mengejutkan apabila merujuk sebuah akhbar The Edge serta menyemak beberapa nama individu tersebut secara tidak langsung merupakan orang penting di dalam 1MDB.

"Pusing sana-pusing sini rupa-rupanya pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji adalah orang besar juga dalam 1 MDB,"tulis beliau di laman Facebooknya.

Tegasnya, isu ini begitu besar kerana Tabung Haji merupakan institusi simpanan milik umat Islam hasil daripada titik-peluh mereka untuk menunaikan Haji.

"Maka amatlah zalim jika Tabung Haji dipergunakan oleh orang politik untuk menyelamatkan 1MDB yang sedang mengalami masalah kritikal apabila hutangnya kini sudah pun mencecah RM42 Billion.

"Bukankah Tabung Haji dan 1MDB adalah institusi dan syarikat yang sama di bawah seliaan kerajaan pusat? Hebat perniagaan mereka ini. Tanah dulu dibeli oleh 1MDB hanya RM60/kaki kemudian sekarang dijual kepada Tabung Haji dengan harga RM2860/kaki," ujarnya.

Tambahnya, umat Islam tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat kebobrokan yang dilakukan oleh pemerintah.

"Kesemua yang bersekongkol dengan projek menyelamatkan 1MDB yang hampir karam ini perlu diingatkan, mereka bukan sahaja bertanggungjawab kepada rakyat tetapi perlu menjawab juga di Mahkamah Allah kelak. Amanah rakyat usahlah dipermainkan sebegitu sahaja," kata beliau.

Skandal ini menjadi perhatian umum apabila satu dokumen sulit tentang penglibatan Tabung Haji sebagai tabung penyelamat kepada syarikat 1MDB mula tersebar di laman sosial dua hari lepas.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif  Lembaga Tabung Haji Datuk Johan Abdullah mengesahkan kumpulan itu membeli sebidang tanah di projek Tun Razak Exchange. – HARAKAHDAILY 8/5/2015

Share on Myspace