Maklumat bocor: Pengurusan TH patut letak jawatan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Tabung Haji membuat laporan polis ekoran kebocoran maklumat rasmi berkenaan pembelian hartanah milik 1MDB adalah memalukan, demikian menurut Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, langkah yang lebih mulia ialah pihak bertanggungjawab wajar menawarkan perletakan jawatan mereka termasuk atas sebab kebocoran yang memalukan sendiri.

Bahkan katanya, Tabung Haji sepatutnya mengambil langkah lebih mulia iaitu membatalkan pembelian itu.

Semalam,  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi terhadap blog The Benchmark, yang mendedahkan dokumen pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX).

Ekoran itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan pihaknya akan siasat kebocoran dokumen Lembaga Tabung Haji berkaitan pembelian tanah milik 1MDB mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Khalid berkata pihaknya akan turut memanggil mereka yang terlibat dengan kes itu, termasuk pegawai tinggi Tabung Haji.

Syarikat 1MDB sedang menghadapi masalah kewangan yang kritikal sehingga menanggung hutang yang kini mencecah RM42 Billion. – HARAKAHDAILY 8/5/2015

Share on Myspace