PAS tubuh Jawatankuasa untuk selamatkan Tabung Haji

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Bertindak pada 10 Mei ini dilihat sebagai satu langkah untuk memantau segala urusan membabitkan Tabung Haji.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa ini melibatkan tenaga pakar dari pelbagai sektor dan wakil pendeposit Tabung Haji.

"Melihatkan perkembangan berkenaan isu wang Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB), satu Jawatankuasa Bertindak akan ditubuhkan.

"Ini bagi memantau, mengumpul maklumat, menganalisis dan bertindak demi mempertahankan hak para pendeposit Tabung Haji daripada terus menjadi mangsa akibat kegagalan kerajaan mengurus 1MDB," katanya.

Menurut beliau, isi ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana Tabung Haji merupakan intitusi yang dimiliki seluruh umat Islam di negara ini.

"Amatlah tidak wajar, wang simpanan hasil titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan syarikat bermasalah, 1 MDB yang juga merupakan syarikat milikan kerajaan.

"Hakikatnya, isu Tabung Haji ini bukanlah yang pertama, ia telah pun berlaku dahulu pada skandal Perwaja, MAS, PKFZ dan terkini Felda dan 1MDB ini," karanya yang juga merupakan Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tabung Haji.

Tambah beliau lagi, PAS mengingatkan dengan tegas kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak menggadaikan institusi ini.

"Di manakah pendekatan Wasatiyyah dan Maqasid Syariah yang dicanang siang-malam itu, jikalau Tabung Haji boleh dipergunakan sedemikian rupa?

"Rakyat di Rompin dan Permatang Pauh sudah pun memberikan isyarat dan loceng amaran kepada BN, dan gelombang perubahan ini akan terus berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. – HARAKAHDAILY 8/5/2015

Share on Myspace