TH beli tanah 1MDB untuk kepentingan politik

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menggesa pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji menangguhkan pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) kepunyaan 1MDB yang dianggap terlalu berisiko bagi sebuah kepentingan dana awam.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khiruddin, TH Properties Sdn Bhd mempunyai jumlah peruntukan kewangan yang besar untuk projek-projek pelaburan dan pembangunan hartanah, namun keputusan untuk membeli tanah TRX 1MDB dianggap sebagai satu keputusan politik semata-mata.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa isu utama untuk menjustifikasikan penangguhan pembelian ini antaranya, 1MDB harus menyelesaikan audit forensik kewangan terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan awam dan integriti kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan projek TRX masih lembab kerana tiada laporan perkembangan yang drastik.

Tambahan pula, katanya, 1MDB bergelumang dengan masalah kewangan yang teruk termasuk beberapa isu integriti dan sudah tentu akan terdedah kepada kegagalan keseluruhan projek TRX.

"Oleh itu, sebagai sebuah dana awam, ia tidak seharusnya terjebak dengan risiko perniagaan dan politik ini. Di Kuala Lumpur, kita sedang berhadapan dengan lebihan penawaran sektor hartanah mewah sama ada bagi jenis residen dan pejabat," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, jelasnya, harga jualan hartanah dengan dampak GST semakin tinggi, dan kadar penolakan pembiayaan hutang tinggi oleh institusi kewangan, serta jumlah jualan hartanah rendah dari pelbagai pemaju adalah faktor-faktor penolakan yang tidak mewajarkan pembelian tanah tersebut untuk tujuan pembinaan apartmen mewah.

"Pulangan pelaburan juga dijangka tidak akan tercapai dalam tempoh 5 tahun," ujarnya.

Justeru katanya, justifikasi di atas boleh dirumuskan bahawa keputusan pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji untuk membeli tanah yang berjumlah RM 188.5 juta adalah semata-mata kerana kepentingan politik dan bukan atas faktor perniagaan dan kepentingan awam. – HARAKAHDAILY 8/5/2015

Share on Myspace