Nahas helikopter: Isteri P'jaya Tinggi Malaysia terbunuh

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datin Habibah Mahmud adalah antara enam orang yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan awal pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri turut mengesahkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar cedera dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Gilgit.

"Helikopter itu membawa diplomat asing dan isteri masing-masing. Mereka dalam rangka program rasmi kerajaan Pakistan.

"Dalam kejadian itu, Duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina serta isteri Duta Besar Indonesia dilaporkan meninggal dunia," kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini, hari ini.

Punca kejadian masih disiasat dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sedang berusaha mendapatkan laporan penuh berhubung nahas itu.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa tragedi itu.

Sementara itu, jurucakap Tentera Pakistan Mejar Jeneral Asim Bajwa turut mengesahkan nahas itu dalam laman Twitter beliau.

Beliau berkata turut berada dalam helikopter jenis MI-11 itu ialah dua juruterbang tentera dikenali sebagai Mejar Altamash dan Mejar Faisal.

"Berdasarkan maklumat awal, dua buah helikopter mendarat dengan selamat manakala pesawat ketiga mengalami masalah teknikal ketika melakukan pendaratan.

"Tiga belas penumpang selamat namun mengalami pelbagai kecederaan. Saya berhubung dengan mereka yang berkenaan. Akan kemas kini maklumat dari lokasi kejadian," kata beliau.

Media asing dan tempatan melaporkan bahawa konvoi tiga helikopter itu membawa delegasi diplomat asing dari 37 buah negara, selain enam lagi warga Pakistan. - Bernama

Share on Myspace